Posting mengikut label

Monday, March 11, 2013

BND6.1 bilion anggaran bagi belanjawan 2013/2014 dibentangkan


Oleh: Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mac. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengambil kira faktor-faktor belanjawan bagi Tahun Kewangan 2013/2014 ini telah digubal dengan tema 'Belia Berwawasan Pemangkin Pembangunan Negara Yang Berdayatahan' sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting para belia sebagai penggerak dan peneraju dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menjelaskan perkara itu ketika membentangkan kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2013) Perbekalan 2013/2014 pada Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan Dewan Majlis di sini.

Menurut Yang berhormat berasaskan faktor-faktor di atas anggaran perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2013/2014, termasuk peruntukan bagi Kumpulan wang Kemajuan, dicadangkan keseluruhannya sebanyak Enam Ribu Satu Ratus Juta Ringgit Brunei (BND6,100,000,000) ataupun BND6.1 bilion.

Jumlah ini adalah merupakan pertambahan sebanyak BND200 juta berbanding peruntukan bagi Tahun Kewangan 2012/2013. Melalui peruntukan-peruntukan yang disediakan, ianya diharap akan dapat mencapai matlamat utama negara untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif.

Langkah-langkah ke arah ini, jelas Yang Berhormat, antaranya termasuklah dengan meningkatkan pencapaian dalam bidang Pendidikan; penekanan kepada perancangan bagi menjana perkembangan belia-belia; menyediakan dan menaik taraf infrastruktur perindustrian; memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memudah cara dan mendukung ekosistem perekonomian, perniagaan dan pelaburan. Lebih-lebih lagi dalam konteks Negara Brunei Darussalam di mana golongan belia, merangkumi lebih 47% daripada jumlah penduduk negara ini dan sebagai golongan pelapis, para belia dihasratkan akan meneruskan dan menerajui pelaksanaan program-program pengukuhan sosio-ekonomi yang telah dirancang bagi menepati sasaran Wawasan Brunei 2035.

Oleh itu, selaras jua dengan tema Belanjawan tumpuan dan keutamaan perancangan perbelanjaan kerajaan bagi Tahun Kewangan 2013/2014 ini dijuruskan kepada, tiga perkara usaha-usaha bagi meningkatkan kapasiti, terutama belia-belia, dengan menyediakan serta menggalakkan latihan-latihan melalui peningkatan kemudahan dan prasarana pendidikan bagi sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi, termasuk sekolah-sekolah vokasional dan teknikal.

Kedua, Pengukuhan Sektor Swasta bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan dan inklusif; dan Ketiga, Peningkatan kesejahteraan awam termasuk usaha ke arah pembasmian kemiskinan.

Bagi Peningkatan Kapasiti, menurut Yang Berhormat, di mana kerajaan menyedari bahawa bagi memastikan pembangunan negara yang berterusan dengan ekonomi yang dinamik, faktor utamanya ialah modal insan atau 'human capital' yang kukuh dan lengkap. Untuk itu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sentiasa memberi keutamaan kepada pelaburan dalam bidang pendidikan dan latihan di negara ini. Ini selaras jua dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) yang diamalkan di negara ini, penekanan kerajaan dalam aspek pendidikan ini bukan saja tertumpu kepada ilmu duniawi, malahan ianya juga meliputi bidang rohani.

Sebagai tonggak kepada pembangunan dan kemajuan negara, kerajaan, tegas Yang Berhormat, menyedari perlunya untuk melabur secara terancang dan bersepadu bagi menghasilkan rakyat dan anggota masyarakat beriman yang dinamik, produktif, berkualiti, berkemahiran serta berwawasan. Ini kerana rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran akan dapat menghasilkan daya cipta, kreativiti dan inovasi yang akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan sebanding dengan negara-negara yang telah maju, yang diharapkan akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak-anak tempatan. Ke arah itulah, perancangan bagi pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara holistik, yang akan merangkumi aspek pendidikan dan kemahiran.

Keutamaan belanjawan seterusnya ialah Pengukuhan Sektor Swasta. Keutamaan ini adalah selaras dengan dasar dan langkah kerajaan untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara yang mana kerajaan akan terus mengukuhkan perancangan bagi memastikan usaha ini akan dilaksanakan secara berkesan bagi mencapai objektif tersebut. Pelbagai usaha dan inisiatif sedang dan akan dilaksanakan bagi memudah cara perniagaan di negara ini.

Setakat ini, tegasnya, inisiatif-inisiatif yang diambil oleh agensi-agensi kerajaan, telah membolehkan negara ini memperbaiki kedudukannya dalam anak tangga Indeks 'Ease of Doing Business' keluaran The World Bank. Bagi tahun 2012, negara telah ditempatkan di tangga ke 79 dari 183 buah negara.

Kedudukan ini meningkat empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Oleh itu, usaha-usaha bagi memperbaiki suasana perekonomian negara sebagai negara yang 'pro-business' dan 'pro-investment' akan terus dipergiat dan dipertingkatkan lagi.

Keutamaan belanjawan seterusnya ialah memelihara dan meningkatkan Kesejahteraan Awam. Di bawah kategori ini, kerajaan akan terus memberikan penekanan kepada perancangan perbelanjaan yang akan dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk negara ini. Ini termasuk dengan menghulurkan kemudahan-kemudahan dan keperluan asas seperti pendidikan secara percuma; perkhidmatan perubatan kesihatan yang berkualiti; pemberian subsidi bagi keperluan-keperluan asasi seperti beras, bekalan elektrik, minyak kenderaan, perumahan; dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bagi meneruskan kemudahan-kemudahan ini, kerajaan perlu terus mengamalkan dasar 'fiscal sustainability' iaitu mengurus kewangannya secara berhemat supaya ianya mampu dikecapi bukan saja oleh generasi sekarang malahan generasi yang akan datang.

Selain daripada bantuan ke atas keperluan asas di atas, bantuan kebajikan; elaun pendidikan; elaun sara hidup; serta bantuan bencana alam juga disediakan melalui beberapa program seperti Skim Perkhidmatan Masyarakat dan Program Perkasa di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Dalam memantapkan lagi program-program pembasmian kemiskinan yang sedia ada, satu jawatankuasa khas isu kemiskinan telah ditubuhkan, yang bertujuan antara lainnya untuk mengenal pasti punca kemiskinan serta merancang, menyelaras dan melaksanakan program-program secara bersepadu untuk membantu golongan miskin. Ianya juga dihasratkan untuk menyelaraskan semua program-program kemiskinan dan rangkaian keselamatan sosial supaya akan dapat memberikan kesan yang lebih baik dan terarah.

Dalam cadangan Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2013/2014 ini, kerajaan, tegas Yang Berhormat juga akan meneruskan matlamat-matlamat utama yang telah digariskan di dalam Belanjawan Tahun Kewangan 2012/2013. Melalui matlamat-matlamat ini, Kerajaan Kebawah DYMM, insya-Allah, akan terus memberikan penekanan kepada usaha memantapkan lagi kewangan negara.

Selaras dengan penekanan ini, dasar perancangan belanjawan masih menjurus kepada kemampanan fiskal (fiscal sustainability), melalui amalan berbelanja secara berhemat, dengan menitikberatkan kepada 'cost effectiveness, value for money' dan mengelakkan pembaziran. Ianya juga menjurus kepada penyediaan peruntukan mengikut keutamaan perbelanjaan, dengan penekanan kepada disiplin dalam pengurusan kewangan; dan perbelanjaan yang dijuruskan kepada peningkatan produktiviti dan 'efficiency gain', terutama dalam keadaan pihak kerajaan perlu membiayai projek-projek e-Kerajaan yang bernilai tinggi.

Ke arah itu, agensi-agensi kerajaan akan berterusan meneliti dan memastikan perbelanjaan dilaksanakan mengikut peruntukan yang telah diluluskan. Adalah diharapkan melalui peruntukan-peruntukan yang disediakan, usaha-usaha kerajaan berdasarkan perancangan dan keutamaan belanjawan negara akan dapat dicapai secara berkesan.

Dengan keperluan mendukung pembangunan negara pada masa ini dan akan datang, belia adalah yang diharapkan sebagai generasi harapan dalam pembangunan ini. Belialah yang akan mengambil alih tanggungjawab dan tugas generasi sekarang untuk memimpin bangsa dan membangun negara di masa akan datang. Belia merupakan aset yang amat penting dan berharga bagi membantu meningkatkan kemakmuran sesebuah negara. Melalui perancangan dan usaha-usaha kerajaan, adalah diharapkan kita mampu melahirkan lebih banyak belia yang menyumbang kepada pembangunan negara secara berkesan. Memandangkan peranan belia yang begitu besar dalam pembangunan negara, kerajaan akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bahawa golongan belia negara ialah golongan belia yang berilmu, berkemahiran tinggi, berjaya dan berakhlak mulia.

Perkara ini pernah, tegas Yang Berhormat, disentuh oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Ke-24 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 2008, di mana baginda bertitah bahawa:

"Belia adalah aset negara. Kerana itu, agenda pembinaan belia adalah amat penting untuk diberikan fokus. Mereka yang dibangunkan itu akan menjadi cermin kepada corak kepimpinan masa depan yang penuh dengan teka-teki. Jika mereka baik, maka kita pun bolehlah tersenyum lega, tetapi jika mereka menjadi insan yang cair moral, maka akan merintihlah negara memikul bebannya."

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: