Posting mengikut label

Wednesday, March 27, 2013

Belanjawan negara BND5.4 bilion diluluskan



Oleh: Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 Mac. - Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang hari in meluluskan peruntukan sejumlah wang yang tidak melebihi lima ribu empat ratus tiga puluh juta, tujuh ratus lapan puluh lima ribu ringgit ($5,430,785,000.00) dari Kumpulan wang Yang Disatukan bagi perkhidmatan tahun kewangan 2013/2014 setelah bersidang di Peringkat Jawatankuasa bagi membincangkan belanjawan 12 kementerian dan lebih 60 jabatan-jabatan kerajaan.

Peruntukan wang sejumlah itu terkandung dalam Rang Undang-Undang yang digelar : Suatu Akta untuk membekalkan sejumlah wang dari Kumpulan wang Yang Disatukan bagi perkhidmatan tahun kewangan 2013/2014, dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu.

Rang Undang-Undang tersebut dicadangkan oleh Menteri Kewangan II (Kedua ) di Jabatan Perdana Menteri , Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim di hari kedua Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesembilan MMN pada hari Sabtu, 9 Mac yang lalu kini digelar sebagai Akta Perbekalan 2013/2014.

Undang-Undang berkenaan diperbuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan nasihat dan persetujuan MMN.

Berkuat kuasa pada 1 April 2013, peruntukan itu ialah bagi membiayai perbelanjaan 12 kementerian dan beberapa projek kemajuan negara yang telah dirancang sehingga 2014.

Rajah I menyenaraikan peruntukan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah dibincangkan bermula 9 Mac sehingga petang Isnin, 25 Mac 2013.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: