Oleh: Hezlinawati Haji Abdul Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 Mac. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, Kementerian Pembangunan merancang ingin meneliti projek-projek perumahan tidak semestinya dibuat oleh pihak kerajaan, tetapi boleh juga dibuat oleh pihak swasta.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata demikian ketika mengulas cadangan yang disuarakan oleh Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin agar Kementerian Pembangunan menubuhkan satu Government Linked Company (GLC) untuk memajukan rumah persendirian yang membolehkan pengguna menggunakan pinjaman kerajaan memandangkan ketika ini kebanyakan pemaju tidak menerima pinjaman kerajaan untuk membeli rumah.
Kementerian Pembangunan, ujar Yang Berhormat, akan mengkaji perkara tersebut mengikut kesesuaian dan tatacara untuk melaksanakan apa yang telah pun dicadangkan walaupun tidak berbentuk GLC tetapi berbentuk 'partnership' dengan sektor swasta.
Terdahulu Yang Berhormat Menteri Pembangunan merakamkan terima kasih atas penghargaan Ahli-ahli Yang Berhormat atas usaha pihak Kementerian Pembangunan dan juga jabatan-jabatan di bawahnya untuk menaik taraf ataupun memberikan perkhidmatan kepada orang ramai melalui kerja-kerja yang telah pun dilaksanakan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga mengakui bahawa tidak semua projek-projek yang akan dilaksanakan itu telah terlaksana dalam tempoh-tempoh yang dijanjikan atas sebab-sebab tertentu, namun sebagai usaha, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya akan sentiasa melaksanakan apa jua projek-projek yang telah diberi peruntukan dan diharap siap dalam tempoh-tempoh yang ditentukan.
Dipetik dari - Pelita Brunei
Berikut adalah petikan dari Usul Mengenai Perumahan pada Kongres Agung Tahunan ke-4 NDP 2009,
...mencadangkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM supaya menubuhkan sebuah Syarikat Perumahan Negara bagi mempercepat penghasilan perumahan untuk dijual kepada rakyat, di samping itu, Jabatan Kemajuan Perumahan pula dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan penghasilan perumahan rakyat jati; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakuai semula usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa supaya agensi pelaksana menyegerakan pembinaan rumah-rumah kediaman seperti yang dihasratkan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, untuk memenuhi keperluan rakyat Baginda yang meningkat dari masa ke semasa, bagi memastikan rancangan perumahan negara dilaksanakan secara berkesan agar setiap keluarga mempunyai tempat kediaman yang selesa, dalam persekitaran yang menggalakkan perkembangan minda dan akhlak yang sihat, melalui strategi pendekatan pelbagai yang melibatkan perkongsian pintar sektor awam dan swasta (public - private smart partnership), tanpa terus bergantung kepada kaedah konvensional yang terbukti tidak berkesan...
No comments:
Post a Comment