Posting mengikut label

Thursday, March 14, 2013

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah dilaksanakan secara berperingkat


Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Mac. - Pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah sangat bergantung kepada tarikh sebenar penguatkuasaan dan pewartaan bagi dua buah perintah iaitu Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah (CPC Syariah).

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman menjelaskan demikian pada permesyuaratan MMN yang disambung buat hari kelima pagi tadi yang turut menyentuh mengenai pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah seperti yang dinyatakan dalam ucapan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal beberapa hari lalu.

Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, sebagai langkah persediaan awal, pada Mei 2012 lalu, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) menubuhkan Jawatankuasa Panel Khas bagi pelaksanaan perintah itu yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syar'ie dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara dengan ahli-ahlinya, pegawai-pegawai atasan yang melibatkan beberapa agensi bagi meneliti isu-isu yang berkaitan.

Menurutnya cadangan tarikh mula pelaksanaannya, buat masa ini Jawatankuasa telah meneliti kesesuaian bagi pelaksanaan perintah tersebut dan akan dibuat secara berperingkat-peringkat melalui tiga fasa iaitu meliputi pelaksanaan peruntukan-peruntukan yang hanya akan melibatkan hukuman denda dan penjara di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah.

Semua peruntukan, katanya, akan dilaksanakan kecuali peruntukan yang melibatkan hukuman bunuh dan keseluruhan peruntukan yang terdapat di bawah perintah kanun berkenaan akan dilaksanakan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menjelaskan, pelaksanaan secara berperingkat tersebut mengambil kira keupayaan semua pihak dan memastikan ia berjalan dengan sewajarnya.

Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan seperti mana yang dijangkakan, jawatankuasa katanya telah mencadangkan untuk menjemput pakar-pakar di bidang Undang-Undang Jenayah Syariah dari luar negara untuk memberikan penerangan, taklimat, kursus, bengkel dan juga tunjuk cara pelaksanaan hukuman tersebut.

Selain itu, tambah Menteri Hal Ehwal Ugama, lawatan-lawatan kerja ke beberapa buah negara yang melaksanakan Hukuman Hudud dan Qisas juga diadakan di samping latihan kepada agensi-agensi yang berkenaan untuk membuat penelitian ke atas keperluan latihan dan pendedahan, latihan-latihan khusus secara praktikal di samping penyediaan prasarana yang lengkap dan sesuai serta keperluan peruntukan kewangan ke arah meningkatkan keupayaan dan infrastruktur.

Menyentuh mengenai tajuk perbincangan SA22A Jabatan Kehakiman Negara dan menjawab soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad mengenai kelambatan pelaksanaan proses perbicaraan, Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua di JPM menerangkan punca masalah tersebut yang disebabkan oleh pertembungan tarikh perbicaraan dengan mahkamah-mahkamah yang lebih tinggi.

"Jadi pihak Jabatan Kehakiman sangat prihatin ke atas cabaran dan isu yang sering timbul ini dalam proses-proses penghakiman dan usaha-usaha penyelesaiannya sentiasa difikirkan dan diambil perhatian yang sewajarnya," ujarnya lagi.

Jelasnya, dalam mengatasi masalah kelambatan itu, khususnya di Mahkamah Syariah, beberapa tindakan telah dibuat iaitu menggubal kaedah penetapan tarikh bagi pendengaran awal kes dan pihak mahkamah juga menetapkan tarikh pendengaran selanjutnya agar kes tersebut tidak terabai.

Selain itu, pihak mahkamah, katanya telah mewujudkan satu Unit Audit Kes yang akan mengaudit kes-kes pada setiap penghujung tahun bagi mengenal pasti kedudukan kes yang dihadapkan dan seterusnya membuat arahan-arahan bersesuaian bagi setiap kes yang belum diselesaikan.

"Terdapat beberapa projek yang sedang dalam pelaksanaan seperti Technology Courts System, Judiciary E-Case Management System dan E-Syariah Court Management System yang dihasratkan akan dapat membantu kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah memberikan perkhidmatan kehakiman yang lebih berkesan dan mesra pelanggan."

Dalam pada masa yang sama terdapat juga projek-projek di bawah peruntukan khas yang juga dihasratkan untuk menaik taraf kaunter-kaunter perkhidmatan di kedua-dua bangunan Mahkamah Syariah dan juga Mahkamah Tinggi agar kemudahan di bangunan mahkamah-mahkamah berkenaan selesa dan kondusif kepada semua pelanggan," tambah Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua di JPM.

Selain itu, jelasnya, salah satu cadangan sedang dalam proses pewartaan iaitu Aturan-Aturan Acara Mal (Shul 2011) yang memperuntukkan peraturan bagi membolehkan perlaksanaan proses di Mahkamah Syariah. Ia boleh dilaksanakan bagi permohonan atas tuntutan akibat suatu penceraian seperti nafkah edah, nafkah anak, hak penjagaan anak, harta sepencarian dan seumpamanya.

Konsep perlaksanaannya membawa maksud satu proses di luar mahkamah bagi memeterai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham yang juga dikenal di dalam Perundangan Sivil sebagai 'mediation'.

"Sementara menunggu aturan tersebut dikuatkuasakan, pihak mahkamah telah membuat inisiatif awal bagi mewujudkan satu unit SOLS bagi melaksanakan proses bagi menggalakkan pihak-pihak dalam mana-mana 'proceeding' untuk mengadakan SOLS mengikut hukum syarak bagi penyelesaian pertikaian mereka," jelasnya lagi.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: