Posting mengikut label

Friday, March 8, 2013

Ketahui selengkapnya inisiatif kerajaan


Oleh: Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan mengurniakan titah di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara.(Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said)
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Mac. - Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) selaku pemimpin akar umbi, diseru agar menghindari perkara-perkara remeh-temeh alam forum perbincangan dan sebaliknya mengutamakan perkara-perkara besar untuk kebaikan semua lapisan rakyat dan negara.

Bertitah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesembilan MMN, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan tanggungjawab besar ahli-ahli MMN berkewajipan untuk mengetahui selengkapnya semua inisiatif kerajaan, baik yang telah mahupun yang sedang dilaksanakan meliputi semua aspek dan bidang ugama, ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan utiliti, keselamatan dan sosial.

"Adalah tidak memadai setakat memberikan setakat banyak bertanya sahaja tanpa memberikan pandangan. Begitu juga tidak memadai setakat menyebut-nyebut jumlah peruntukan yang besar tanpa melihat apa dan bagaimana ia digunakan dengan berkesan," titah baginda di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesembilan MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Jalan Dewan Majlis.

Semua itu titah baginda perlu mendapat perhatian yang serius daripada sekalian ahli MMN terutama ahli-ahli yang dilantik yang mana mereka itu perlu untuk memberikan pandangan sebanyak yang mungkin dan buah fikiran daripada daripada ahli-ahli.

Baginda yakin ahli-ahli MMN terutama mereka yang dilantik tentu saja sudah maklum atau mengetahui bidang-bidang yang dimajukan di dalam perancangan kerajaan. Maka bersabit itu, adalah tepat pada masanya untuk mereka itu mesti sama-sama memberikan pandangan.

Dalam pada itu titah baginda, sumbangan sektor kerajaan akan diteruskan terutama dalam bentuk pembinaan prasarana-prasarana utama dengan peruntukan kewangan berjumlah $6.5 bilion ringgit dalam RKN Ke-10 merupakan komitmen yang sangat besar daripada kerajaan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan negara.

Dalam konteks ini ahli-ahli MMN digesa agar memberikan pandangan bagaimanakah cara untuk meningkatkan lagi pendidikan memperbaiki taraf kesihatan, mengatasi pengangguran, memajukan pelaburan, pelancongan, pertanian dan alam sekitar.

Di dalam bidang-bidang ugama dan undang-undang pula titah baginda diperlukan pandangan dan buah fikiran bagaimana cara untuk memperkemas serta melicinkan lagi perlaksanaannya. Begitu juga di bidang sosial bagaimanakah cara berkesan untuk mengatasi dan mengubati penyakit jenayah dan lain-lain penyakit moral.

"Pendeknya bidang-bidang ini adalah sangat luas dan terbuka untuk disebut dan dibincangkan. Jika ada respons baik dan hangat daripada Ahli-Ahli mengenainya maka barulah ada makna kita bersidang," titah baginda.

Inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat tegas baginda mereka ingin untuk mendengarnya, ingin tahu apa dia perkembangan di dalam negara melalui projek-projek kerajaan yang telah dan sedang berjalan. Adalah tidak memadai dengan cuma menyebut RKN Ke-10 dengan peruntukannya yang begitu besar tanpa memberikan gambaran apa dia projek-projek yang diungkayahkan itu dan bagaimana ia berjalan?

Baginda berharap, agar MMN kali ini akan dapat berlangsung dengan licin dan sempurna serta mampu mencapai objektifnya.

(Dipetik dari : PELITA BRUNEI)

No comments: