Posting mengikut label

Wednesday, March 27, 2013

Penggunaan air di negara ini antara tertinggi di dunia


Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 Mac. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, jumlah purata penggunaan air di negara ini ialah antara 400 hingga 450 liter bagi setiap seorang sehari, menyamai penggunaan lebih kurang setengah tangki yang digunakan di rumah.

Yang Berhormat menyatakan perkara itu semasa berucap pada Majlis Pelancaran Seminar Air Sempena Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2013 bertemakan 'Water Cooperation', berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, di sini.

Menurut Menteri Pembangunan, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, purata jumlah tersebut adalah dalam kalangan yang tertinggi di dunia, manakala negara-negara jiran yang terdekat mempunyai purata penggunaan sekitar 200 hingga 250 liter seorang sehari.

Yang Berhormat berkata, kesimpulannya secara purata penggunaan air dua kali ganda jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Terdahulu Yang Berhormat menjelaskan, air merupakan sumber yang diperlukan bagi pelbagai kegunaan secara domestik, industri, pertanian dan alam sekitar.

"Pengurusan sumber air yang holistik dengan penglibatan semua pihak yang berkepentingan adalah sangat penting untuk memastikan sumber air dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dengan berpatutan dan berdaya tahan serta bertepatan dengan tema sambutan Hari Air Sedunia pada tahun ini iaitu 'Water Cooperation', " ujar Yang Berhormat.

Di samping itu Yang Berhormat juga menyentuh mengenai lapan strategi yang telah dikenal pasti di dalam Wawasan Brunei 2035, termasuk menjamin dan menyediakan bekalan air yang berterusan seperti yang terkandung di dalam Strategi Infrastruktur.

Penyediaan infrastruktur yang berkualiti tinggi, katanya, adalah pelaburan awal yang sudah tentu akan memberikan pulangan yang tinggi di masa akan datang seperti memberikan keyakinan kepada pelabur (investor confidence) ke negara ini, potensi bagi memberikan peluang pekerjaan, 'spin-off economic potential' serta kualiti kehidupan yang tinggi kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Pada masa ini, jelas Yang Berhormat, infrastruktur bekalan air di negara ini dapat dianggap di tahap sangat baik dengan bekalan air bersih yang berterusan kepada 100 peratus penduduk di negara ini.

Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya, adalah komited untuk memperbaiki lagi sistem bekalan air tersebut secara berterusan.

"Pihak kerajaan telah membelanjakan beratus juta ringgit bagi menyediakan infrastruktur bekalan air di samping kos pengurusan dan pemeliharaan tahunan untuk menyediakan bekalan air yang bersih dan berkualiti yang telah sama-sama kita nikmati pada masa ini dan juga di masa akan datang," ujarnya.

Menyentuh usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan bagi penggunaan air yang lebih mapan, Yang Berhormat menjelaskan, sebahagian besar dari inisiatif yang dirancang adalah berasaskan kepada kerjasama dalam kalangan pihak-pihak yang berkepentingan dan orang ramai, seperti mana juga yang ditekankan dalam tema sambutan Hari Air Sedunia 'Water Cooperation' iaitu Perlaksanaan Program 'Water Conservation Pledge' yang telah disertai oleh beberapa organisasi terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta mahupun individu-individu.

Inisiatif lain, tambahnya ialah Program tahunan 'Brunei Darussalam-Singapore Cooperation on Environment' termasuk program kerjasama JKR dengan Public Utility Board, Singapura yang dapat memberikan peluang untuk memajukan sumber tenaga manusia, perkongsian amalan terbaik dan penggunaan teknologi yang bersesuaian bagi meningkatkan efisiensi di dalam pengurusan air.

Selain itu, kata Yang Berhormat, ia juga termasuk Seminar Air Tahun 2013 yang menjemput pakar-pakar dari luar negeri untuk berkongsi amalan terbaik dan kepakaran di dalam menangani masalah-masalah pengurusan bekalan air di negara ini.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: