Posting mengikut label

Wednesday, April 9, 2014

Gagasan ASEAN Berteraskan Rakyat


KUALA LUMPUR 8 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan melaksanakan gagasan 'ASEAN Berteraskan Rakyat' apabila menduduki jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan bagi menjadikan rantau ini sebagai tempat tinggal yang selesa untuk semua lapisan penduduk.

Perdana Menteri berkata, gagasan itu akan menjadi instrumen lebih berkesan untuk merealisasikan impian penduduk di rantau ASEAN iaitu ke arah tadbir urus kerajaan yang lebih efektif dan responsif, standard kehidupan lebih baik, pengukuhan perlindungan persekitaran, pengupayaan golongan wanita dan menawarkan peluang lebih baik untuk semua masyarakat.

"Gagasan '‘ASEAN Berteraskan Rakyat'’ adalah visi Malaysia untuk melibatkan semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti ASEAN. Rantau ini tidak lagi akan menjadi tempat untuk golongan elit dan istimewa semata-mata.

"Sebuah komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat akan benar-benar menjadikan ‘'Satu ASEAN untuk Semua’'," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Kolokium Nasional yang bertemakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015: Ke arah ASEAN Berteraskan Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin serta duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara ke Malaysia.

Najib berkata, Malaysia yang mempunyai nisbah kebergantungan perdagangan keempat terbesar di dunia memerlukan persekitaran rantau yang stabil untuk terus berkembang maju dan dalam hal ini, penyelesaian berhubung isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan antara negara-negara ASEAN dan China adalah penting.

Di samping itu, katanya, masalah konflik dalaman negara-negara anggota terus menjadi kebimbangan yang perlu ditangani di rantau ini, di samping memenuhi harapan rakyat untuk tadbir urus kerajaan yang lebih baik dan demokratik.

"Atas alasan-alasan ini, Malaysia mengenalpasti '‘ASEAN Berteraskan Rakyat’' sebagai elemen asas dan tema menyeluruh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015," ujarnya.

Perdana Menteri turut menggariskan empat cabaran yang perlu ditangani ASEAN pasca 2015 yang cabaran pertamanya ialah menangani jurang antara 'cara ASEAN' yang memberikan penekanan kepada hubungan peribadi dan perjanjian di belakang tabir dengan pendekatan berdasarkan peraturan bagi menjaga kepentingan pelabur dan negara-negara anggota.

Seterusnya, matlamat ASEAN perlu dinyatakan dalam terma yang lebih konkrit dan relevan yang memperlihatkan kepentingannya supaya pertubuhan itu mempunyai perbincangan yang fokus terhadap isu-isu kritikal seperti perubahan iklim serta masalah jerebu, kata Najib.

"Pencapaian dan kepentingan ASEAN juga mesti diketahui ramai. Kurangnya kesedaran mengenai ASEAN dalam kalangan rakyat merupakan halangan utama bagi memenuhi visi ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’. Kajian oleh Sekretariat ASEAN pada 2012 menunjukkan hanya 34 peratus rakyat Malaysia pernah mendengar Komuniti ASEAN berbanding 96 peratus rakyat Laos," katanya.

Beliau berkata, cabaran keempat ialah perlunya langkah-langkah untuk mengukuhkan penyelarasan dan bersepadu bagi mewujudkan kecekapan serta mengelakkan pertindihan dalam kalangan negara-negara anggota.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau percaya institusi-institusi yang diterajui ASEAN seperti sidang Kemuncak Asia Timur boleh menerokai kaedah-kaedah baharu bagi menggalakkan kerjasama serantau dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) supaya negara-negara anggota lebih bersiap sedia apabila berlaku tragedi seperti kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Beliau turut menyatakan amat tersentuh dengan sokongan yang ditunjukkan negara-negara rakan antarabangsa Malaysia dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada bantuan yang dihulurkan sepanjang pencarian pesawat itu.


Sumber - Utusan Malaysia Online

No comments: