Posting mengikut label

Friday, April 18, 2014

JEJAK EHSAN HIMPUNAN WANITA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (HAWA NDP) SUMBANG MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG RAMBAI LAMUNIN


Saemah Kepli

TUTONG, Jumaat-   Salah seorang ahli Exco Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa telah menjadi mangsa kejadian kebakaran tempat tinggal di Kampung Rambai Jalan Tasek Marimbun Lamunin dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8:00 pagi kelmari (Khamis).

Dayang Siti Mariani binti Abdullah Marikan, 64, tinggal sehelai sepinggang, ekoran kejadian tersebut yang berlaku semasa beliau sedang mengetam padi di sawahnya di kawasan yang mengambil masa kira-kira 25 minit berjalan kaki.

Ekoran kejadian itu Dayang Siti Mariani kehilangan harta benda termasuk dokumen-dokumen penting dan menganggarkan kerugiannya sejumlah lebih $50,000 termasuk nilai rumah yang telah didiaminya sejak tahun 2002.

Rombongan HAWA NDP yang mengunjungi beliau yang pada masa ini menumpang di rumah kakaknya tidak jauh daripada rumahnya yang hangus, disertai sama rombongan daripada Badan Perhubungan NDP Daerah Tutong yang diketuai oleh Naib Presiden Dato Paduka Haji Ismail bin Haji Ibrahim.

Sementara itu mengetuai rombongan HAWA NDP Ketua Himpunan Wanita Pusat, Hjh Sa’emah Kepli dan Timbalan Ketua Hawa Pusat Dayang Kartini Abd Manap, serta beberapa orang ahli Exco Hawa Pusat dan ahli-ahli Hawa Daerah Tutong.

Menyertai sama ialah Setiausaha Agong NDP Awang Haji Mohd Jefri bin Haji Daud, Ketua Jawatankuasa Disiplin dan Hisbah Awang Mohamad Peter bin Abdullah, Ketua Biro Kemasyarakatan Dayang Hajah Asmah binti Haji Pulut selain turut hadir ialah Penasihat NDP Awang Mohd Bajau bin Abdullah serta Ketua Ranting Kampung Rambai Awang Gandu Garip.

Semasa lawatan rombongan telah turut menghulurkan sumbangan berbentuk pakaian dan wang tunai yang dihasratkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesusahan dan kesedihan yang dihadapi oleh Dayang Siti Mariani pada masa ini.

Dayang Hjh Sa’emah memberitahu, dia telah mendapat tahu kejadian yang menimpa Dayang Siti Mariani petang kelmarin, dan telah menghubungi ahli-ahli Hawa NDP serta ahli-ahl Majlis Tertinggi Wanita NDP untuk sama-sama membuat kunjungan demi memberikan sokongan moral kepada ahli wanita yang juga merupakan seorang yang begitu aktif menyertai apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak parti.

Selain Naib Presiden Daerah Tutong Dato Paduka Haji Ismail semasa menyampaikan ucapan rengkas pada majlis penyerahan sumbangan hari ini, menyampaikan rasa takziah dan menasihatkan supaya Dayang Siti Mariani dapat bersabar dan redha akan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.


Seramai sembilan orang anggota bomba Balai Bomba Lamunin yang diketuai oleh Ahli Bomba Kanan Juin bin Gunugn telah dikejarkan ke tempat kejadian kelmarin, bomba menyatakan telah menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 8:39 pagi dan punca kejadian bagaimanapun katanya masih dalam siasatan.

No comments: