Posting mengikut label

Tuesday, January 20, 2015

Manfaatkan komuniti Ekonomi ASEAN


Syed Nabil Fauwaz Al Jeffri

SEJARAH menunjukkan pemindahan kuasa ekonomi dari satu tempat ke satu tempat mengikut kadar permintaan dan potensi pertumbuhan. Dari Eropah ke Amerika, kemudian ke Asia Timur, ASEAN adalah pasaran baharu yang pada peringkat ini adalah pasaran ketujuh terbesar di dunia dengan nilai dagangan melebihi AS$2.5trillion.

Dengan kadar pertumbuhan terkini, ASEAN dijangka menjadi sektor ekonomi keempat terbesar di dunia sebelum tahun 2040. Walaupun dengan pertumbuhan pesat ini, dagangan intra-ASEAN masih lagi menunjukkan tahap pertumbuhan yang rendah, mewakili tidak lebih 25 peratus daripada jumlah dagangan.

Dengan jumlah dagangan ASEAN yang sudah meningkat lebih empat kali ganda sejak 15 tahun dahulu, potensi dagangan antara negara berjiran dalam ASEAN masih belum dimanfaatkan secara penuh, dengan peratusan dagangan antara negara ASEAN yang hampir tidak berganjak.

ASEAN berfungsi berasaskan dasar persetujuan dan bukan melalui komisen berkuat kuasa. Ini bermaksud, semua perjanjian di antara negara-negara ASEAN tidak dikenakan melalui penguatkuasaan perundangan berpusat tetapi melalui konsensus negara-negara. Kerajaan-kerajaan ASEAN sebagai pembuat dasar memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk integrasi komuniti ASEAN.

Melalui perjanjian yang saling menguntungkan, hubungan lebih erat di antara negara-negara ASEAN akan banyak membawa manfaat dalam pembangunan negara.

Sektor ekonomi memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti ASEAN, dan 2015 adalah tahun yang sangat penting dalam sejarah benua Asia Tenggara sebagai tahun perlaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN, yang dilakar melalui pelan tindakan ‘ASEAN Economic Community Blueprint’. Terletak di pusat pertumbuhan ekonomi benua yang pesat ini adalah Malaysia, salah satu ekonomi membangun yang tahun demi tahun menunjukkan salah satu kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di kalangan negara ASEAN.

Penduduk ASEAN juga terdiri daripada golongan celik huruf dan muda yang meningkat, dengan lebih 65 peratus berada di bawah umur 45 tahun. Ini menunjukkan keupayaan kesinambungan pembangunan sektor ekonomi melalui industri-industri perkilangan dan tenaga mahir yang baik.

Apabila digandingkan dengan kedudukan strategik, keupayaan perkilangan kos yang masih agak rendah, ASEAN merupakan destinasi menarik untuk pelaburan luar.

Sekiranya Komuniti Ekonomi ASEAN dapat mengecapi status pasaran tunggal yang merangkumi aliran lebih bebas untuk barangan, kemahiran dan pelaburan, Malaysia sebagai salah satu ekonomi terkuat dalam ASEAN akan meraih pelbagai manfaat dan perangsang pembangunan seperti pertumbuhan dalam permintaan pasaran, pertumbuhan daya saing perniagaan, peluang pekerjaan dan perniagaan, peluang untuk kerjasama strategik, peluang eksport, permintaan untuk perkhidmatan tambah nilai dan pelbagai lagi.

Lebih 97 peratus daripada ekonomi ASEAN terdiri daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi ASEAN, daya saing PKS adalah penting dalam pembangunan ASEAN. Malaysia mempunyai sektor PKS yang aktif dan semakin kuat.

Kebolehan dan daya saing PKS Malaysia adalah antara yang terbaik di dalam ASEAN, hanya di belakang Singapura, yang tidak mempunyai banyak ruang pertumbuhan lagi. Di Malaysia, masih terdapat banyak peluang yang dapat diambil daripada pembukaan pasaran. Terdapat juga peluang untuk menjalinkan peluang kerjasama dalam perkongsian amalan terbaik dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan.

Inisiatif Komuniti ASEAN ini tidak mudah dikecapi, dan pelbagai isu harus diselaraskan sebelum integrasi yang efektif boleh dicapai. Penyingkiran halangan bukan tarif, peningkatan rangka kerja kawal selia dan pengharmonian piawaian adalah elemen-elemen penting yang perlu dipersetujui dan dikemaskini oleh kerajaan-kerajaan ASEAN dalam integrasi ekonomi ASEAN.

Peranan kerajaan juga penting dalam membantu perniagaan-perniagaan tempatan meluaskan pasaran ke peringkat benua. Masalah-masalah yang sering dialami oleh PKS adalah seperti kekurangan peluang pinjaman modal dan pembiayaan kredit, kekurangan pelabur, masalah perundangan, kurang maklumat pasaran dan masalah bahasa.

Walaupun ini semua adalah masalah, terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mengurus dan mengendali masalah-masalah ini supaya manfaat ekonomi berintegrasi ini dapat dipenuhi. Penggunaan teknologi boleh membantu dalam memberi maklumat pasaran. Bank pembangunan PKS dan sumber kewangan alternatif boleh menampung masalah akses kepada kemudahan kewangan dan modal. Jepun adalah contoh negara timur yang dipacu sektor PKS, dan produktiviti PKS yang tinggi.

Kunci kepada kejayaan Malaysia dalam ASEAN adalah dalam menjadi proaktif untuk meningkatkan tahap kesedaran, keberanian untuk meluaskan pasaran dan penggalakan inovasi dan keusahawanan dalam perniagaan. Adalah baik sekiranya usahawan-usahawan dan PKS Malaysia dapat memanfaatkan peluang daripada pasaran tunggal ini, lebih-lebih lagi selaku warga tuan rumah ASEAN pada tahun pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN ini.

Sebagai salah satu ekonomi besar Asia Tenggara, kita tidak patut berasa terancam atau risaukan kemasukan pelabur luar, tapi untuk kita lebih prihatin kepada peluang-peluang keemasan untuk memajukan perniagaan di dalam dan luar negara.


Sumber - Utusan Online

No comments: