Posting mengikut label

Tuesday, January 6, 2015

Mangsa rumah roboh terima sumbangan


Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 4 Jan – Badan Perhubungan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) membuka tirai aktiviti berkebajikan mereka tahun ini, dengan menghulurkan sumbangan kepada sebuah keluarga mangsa kejadian rumah roboh yang berlaku di Kuala Balai baru-baru ini.

Sumbangan diserahkan oleh Naib Presiden NDP Daerah Belait, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talib kepada Awang Mohd Haikal bin Abdullah Sagang selaku ketua keluarga mangsa. Majlis berlangsung di kediaman sementara mereka di Flat 83 Jalan Maulana dekat sini, hari ini.

Turut serta dalam rombongan menyerahkan bantuan itu ialah ahli-ahli jawatankuasa Badan Perhubungan Daerah Belait NDP serta Timbalan Pengerusi Tetap NDP, Haji Mahdi bin Haji Suhaili.

Menurut Pengiran Haji Zainal, sumbangan tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti berkebajikan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1436H.

Pengiran Haji Zainal menyerahkan sumbangan kepada Awang Mohd Haikal
di kediaman penempatan sementara mereka di Jalan Maulana.

Penyampaian sumbangan berupa keperluan makanan asasi dan sedikit wang tunai itu juga dihasratkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesusahan yang dihadapi oleh ahli keluarga mangsa kejadian rumah roboh berkenaan, selain untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim bersama masyarakat setempat.

Keluarga seramai lima orang itu kehilangan tempat tinggal ekoran kejadian yang berlaku pada penghujung tahun ini, dan kini terpaksa ditempatkan sementara di flat kerajaan di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait.

Keluarga terbabit sebelum ini tinggal menumpang dengan menyambung rumah buatan kayu di kediaman sepupunya di Kuala Balai, ekoran belum mempunyai tempat tinggal yang tetap.

Awang Mohd Haikal dan ahli keluarganya yang merupakan saudara baru, telah memohon tempat kediaman daripada jabatan berkenaan, tetapi sehingga kini masih menunggu proses kelulusan permohonan mereka itu.


Sumber - Media Permata

No comments: