Posting mengikut label

Monday, March 23, 2015

BND1 bilion diperuntukkan bagi RKN 2015 / 2016


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 Mac. - Pelaksanaan projek-projek yang dirancang di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 telah berjalan dengan lancar bagi mendukung aspirasi negara sebagaimana objektif yang telah ditetapkan di dalam Wawasan Negara 2035.

Walau bagaimanapun usaha untuk membangun dan membina sektor swasta yang kukuh masih lagi perlu dipertingkatkan bagi mencapai matlamat dasar untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negara.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan perkara tersebut semasa membentangkan mukadimahnya mengenai Anggaran Belanjawan - Kemajuan bagi pihak Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada Majlis Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan MMN, di sini.

Sebagaimana huraian dan penjelasan semasa pembentangan cadangan Belanjawan Tahun Kewangan 2015 / 2016 beberapa hari yang lalu jelas Yang Berhormat, ekonomi negara berdepan dengan cabaran ekonomi global yang tidak menentu dan sukar diramal selain pendapatan negara dan kerajaan juga terjejas disebabkan oleh penurunan secara drastik harga minyak di pasaran global.

Oleh itu tegasnya, perancangan perbelanjaan di bawah RKN perlu berasaskan kepada keupayaan perbelanjaan kerajaaan, dan mendukung dasar fiskal ‘sustainability’ dan fiskal ‘consolidation’ yang menjadi teras dalam pengurusan dan perancangan perbelanjaan kerajaan.

Justeru bagi Tahun Kewangan 2015 / 2016 jelasnya, perbelanjaan RKN juga dirangka bagi mendukung fokus dan keutamaan belanjawan berdasarkan tema belanjawan, iaitu ‘Modal Insan Berkualiti Mendukung Pembangunan Inklusif’.

“InsyaaAllah melalui perancangan dan pemantauan yang rapi, serta panduan yang diberikan oleh Jawatankuasa Tertinggi RKN Ke-10 yang di Pengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.”

“Usaha-usaha akan dipergiatkan lagi bagi mencapai sasaran-sasaran seperti yang dimuatkan dalam rangka strategi dan dasar bagi pembangunan (outline of strategies and policies for development - OSPD). Bagi RKN Tahun Kewangan 2015 / 2016 Masihi ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak BND1,000,000,000,” ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat peruntukan tersebut adalah bagi membiayai 553 projek dengan harga rancangan sejumlah BND8,225,907,753. Ini termasuk 424 projek yang diteruskan dari RKN Ke-9. Iaitu RKN 2007 / 2012 yang lepas.

Pengagihan peruntukan tersebut tambahnya, berdasarkan kepada fokus dan keutamaan perbelanjaan yang telah ditetapkan selain pengagihan peruntukan tersebut juga berdasarkan komitmen projek.

Katanya, ia lebih ditumpukan kepada komitmen projek-projek yang telah siap, tetapi masih ada tanggungan. Projek dalam pelaksanaan, projek yang menunggu ‘award’ dan projek yang ditawarkan itu adalah projek-projek siap disediakan peruntukan sebanyak BND71.2 juta (7.1 peratus); Projek dalam pelaksanaan disediakan sebanyak BND822.8 juta (82.3 peratus); Manakala projek dalam peringkat tawaran diperuntukkan sejumlah BND15.8 juta (1.6 peratus); Projek dalam peringkat reka bentuk BND14.0 juta (1.4 peratus).

Tambahnya, bagi projek yang memerlukan kos tambahan bagi yuran perkhidmatan konsultan, pembelian perabot serta kerja-kerja tanah dan infrastruktur, kerajaan akan menyediakan sebanyak BND2 juta, iaitu 0.2 peratus di bawah Tajuk Rampaian; BND6.3 juta, iaitu 0.6 peratus di bawah Tajuk Kemajuan Tapak dan Bagi keperluan-keperluan perbelanjaan yang tidak dijangkakan yang berkeperluan dan keutamaan tinggi, sejumlah BND68 juta, iaitu 6.8 peratus disediakan di bawah Simpanan Gagasan.

Secara keseluruhannya jelas Yang Berhormat, pengagihan peruntukan adalah mengikut beberapa sektor utama seperti Sektor penggunaan awam disediakan peruntukan sebanyak BND233.7 juta atau 23.4 peratus yang mana tumpuan sektor ini antara lain termasuk menyediakan bekalan air bersih yang mencukupi, merawat kumbahan, pembetungan, pembaikan sistem saliran bagi pengawalan banjir dan penyediaan bekalan elektrik; Sektor perkhidmatan sosial disediakan sebanyak BND225.9 juta ataupun 22.6 peratus dari keseluruhan peruntukan kemajuan, sektor ini merupakan sektor yang menumpukan pada pelaksanaan projek-projek yang berkaitan dengan pendidikan, kesihatan, perumahan negara dan sumber tenaga manusia; Sektor Pengangkutan dan Perhubungan, disediakan peruntukan sebanyak BND156.2 juta atau 18.6 peratus. Sektor ini menumpukan kepada pelaksanaan projek-projek seperti jalan raya, telekomunikasi, penerbangan awam dan lain-lain; Sektor perindustrian dan perdagangan diperuntukkan sebanyak BND100.5 juta, iaitu 10.5 peratus dari keseluruhan peruntukan. Ia adalah bagi melaksanakan beberapa projek perekonomian yang telah dikenal pasti untuk dikendalikan dan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, di Sektor Rampaian disediakan sebanyak BND76.3 juta, iaitu 7.6 peratus dari jumlah keseluruhan peruntukan. Peruntukan ini termasuk bagi membiayai projek- projek yang memerlukan kos tambahan; Sektor Bangunan Awam pula diperuntukkan sejumlah BND59.1 juta, iaitu 5.9 peratus, iaitu untuk menaik taraf dan penyediaan bangunan-bangunan kerajaan; Sektor Keselamatan yang meliputi Sub-Sektor Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) disediakan sebanyak BND53.7 juta atau 5.4 peratus daripada jumlah keseluruhan; dan Sektor Teknologi Maklumat dan Infokomunikasi diperuntukkan sebanyak BND43.6, iaitu 4.3 peratus.

Dalam sektor Sains dan Teknologi Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi pula tambahnya diperuntukkan sebanyak BND16.6 juta, iaitu 1.7 peratus ia merangkumi peruntukan ‘research and development’ di bawah kawalan Majlis Penyelidikan Brunei, iaitu Brunei Research Council.

Sementara kriteria-kriteria yang digunakan dalam menilai RKN 2015 / 2016, terang Yang Berhormat adalah memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang berikut, iaitu Projek yang mendapat menjana pertumbuhan ekonomi; Projek yang mendapat meningkatkan produktiviti sektor awam atau swasta; Projek yang menjurus kepada pengetahuan, penyelidikan, peningkatan inovasi; Projek yang telah siap dilaksanakan bagi membayar ‘final payment’ dan wang tahanan; Projek yang sedang dilaksanakan bagi membayar kemajuan projek; dan Projek dalam tawaran dalam reka bentuk bagi membayar kerja-kerja awal dan yuran perunding.

Sehingga 12 Mac 2015, masalah perbelanjaan sebenar RKN 2014 / 2015 terang Yang Brhormat berjumlah BND937.1, iaitu 81.5 peratus peruntukan sebanyak BND150,000,000 telah disediakan.

Jumlah ini, ujar Yang Berhormat menjadikan perbelanjaan RKN Ke-10 setakat ini ialah sebanyak BND3,798.7 juta. Perbelanjaan RKN Tahun Kewangan 2014 / 2015 ini dijangka meningkat kepada BND1,100,000,000.

Yang Berhormat menekankan bagi memastikan pelaksanaan dan perbelanjaan projek-projek RKN dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan peruntukan yang telah diluluskan pihak-pihak yang terlibat akan membuat pemantauan rapi serta melaksanakan langkah-langkah.

Langkah-langkah itu termasuk mengeluarkan projek-projek yang belum dilaksanakan selaras dengan garis panduan penggunaan RKN Ke-10; Menekankan bahawa Projek Ke-9 yang ditunda mestilah disiapkan dalam RKN Ke-10 bagi menggelakkan permohonan tambahan peruntukan projek; Kerap membuat lawatan ke tapak-tapak projek, di samping membuat lawatan mengejut; Memastikan pembayaran dilaksanakan mengikut perjanjian kontrak; Memastikan setiap kementerian membuat perancangan rapi dan mengikut skop asal dan jadual; Memastikan skop kerja adalah berasaskan kepada tujuan ‘functionality’ dan tidak berlebih-lebihan dan Menyediakan sistem pemantauan projek dan pembayaran yang lebih berkesan.

Bagi mendukung usaha pembangunan negara, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri tegasnya, akan berterusan meneliti kesesuaian projek-projek yang dirancang dalam menyumbang secara ‘sustainable’ dan berkesan kepada pertumbuhan sosioekonomi negara, di samping mengambil tindakan-tindakan yang bersesuaian seperti memastikan setiap projek atau setiap pembelian yang dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang disediakan bagi memastikan perbelanjaan RKN secara keseluruhannya terkawal mengikut peruntukan yang diluluskan; Memastikan keperluan projek-projek yang dilaksanakan dinilai dari segi keperluan yang sebenar. Keutamaan dan hasil (outcome) yang akan diperolehi terutama menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang tetap dan berkualiti kepada anak-anak tempatan dan hasil kerajaan yang akan diperolehi; Memberi tumpuan dan keutamaan kepada perancangan perbelanjaan yang benar-benar dijangka dapat membantu mendorong dasar mempelbagaikan ekonomi negara; Memastikan cadangan perbelanjaan bagi setiap projek, skop dan signifikasi kerja diteliti dengan memberi tekanan kepada dasar keutamaan dan ‘value for money’ dan konsep guna sama serta tidak ‘over satisfied’ dan berlebihan daripada fungsi keperluan sebenar.

Di samping itu tambahnya, memastikan mana-mana projek yang tidak ada peruntukan, tidak ada ditawarkan ataupun tidak ada ditender kecuali kebenaran telah diperolehi atau telah mendapat pengesahan peruntukan yang mencukupi; Mana-mana projek yang telah siap dilaksanakan dan masih mempunyai baki peruntukan hendaklah tidak digunakan sewenang-wenangnya baki wang tersebut kerana ialah sebagai penjimatan kepada kerajaan; Memastikan kontrak-kontrak di bawah sesuatu projek dikenal pasti bagi mengelakkan mana-mana peruntukan dan harga rancangan yang telah disediakan tidak digunakan untuk membiyai kontrak yang baharu yang kurang keutamaan dan berterusan meneliti keperluan projek yang dirancang agar mana-mana projek yang tidak diperlukan dan keutamaan ditiadakan bagi memberikan laluan pada projek-projek baharu yang lebih utama dan berkualiti bagi mendukung Wawasan Brunei 2035.

Bagi memastikan penyelarasan projek di RKN Ke-10 tercapai, selaras dengan matlamat terang Menteri Pembangunan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN Ke-10 telah berangkat dari semasa ke semasa mengadakan lawatan ke tapak-tapak projek RKN bagi meninjau secara dekat dan memastikan projek RKN Ke-10 berjalan dengan lancar menurut perancangan waktu dan peruntukan yang telah ditetapkan bagi mencapai keberhasilan dan meraih impak yang menyeluruh selaras dengan matlamat Wawasan Negara 2035.


Sumber -Pelita Brunei

No comments: