Posting mengikut label

Wednesday, March 4, 2015

Hampir semua sasaran MDGs dicapai


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Negara Brunei Darussalam hampir mencapai kesemua lapan Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) yang disasarkan yang mana Brunei telah berjaya untuk menghapuskan kemiskinan yang melampau, penyakit-penyakit berjangkit telah berjaya ditangani serta negara terus memperbaiki kedudukan ekuiti secara progresif.

Di samping itu, peluang-peluang pendidikan disediakan bagi pelajar-pelajar lelaki dan perempuan pada setiap peringkat dan wanita kini mempunyai tahap penyertaan dalam tenaga kerja yang tinggi serta jumlah bagi menjawat jawatan kanan di sektor awam juga meningkat.

Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam juga merupakan di antara kumpulan negara yang menguruskan sumber asli dan alam sekitarnya selaras dengan prinsip pembangunan mampan.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Haji Abdul Amin bin Haji Hashim dalam kata alu-aluannya di Majlis Penandatanganan Kontrak Perjanjian Perkhidmatan Bagi Penyediaan Laporan Ketiga Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Hotel Badi’ah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir di majlis berkenaan bagi menyaksikan penandatanganan itu ialah Pemangku Ketua Pengarah JPKE, Pengiran Hajah Rosnah binti Pengiran Haji Damit.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan serta ahli-ahli Focal Points MDGs yang telah dilantik dari pelbagai agensi kerajaan yang berkenaan.

Haji Abdul Amin dalam kata alu-aluannya turut menyatakan bahawa Brunei juga melihat dirinya sebagai sebahagian daripada kerjasama global dalam pembangunan dan kerjasama sokongan teknikal bagi manfaat negara-negara yang kurang membangun.

Di samping itu, Brunei juga terus melabur dalam sumber manusia negara termasuk dalam sains dan teknologi untuk mengekalkan momentum pembangunan negara.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan adalah amat penting bagi semua pihak untuk menggandakan lagi usaha hasil daripada pencapaian yang sedia ada supaya akan mampu untuk meningkatkan lagi pencapaian itu dari segi kualiti pembangunan sosioekonomi.

Majlis diteruskan dengan penandatanganan kontrak perjanjian di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan perunding yang disyorkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PT Asia Strategik, Indonesia.

Menandatangani bagi pihak kerajaan ialah Haji Abdul Amin dan bagi pihak PT Asia Strategik ialah Dr Staish Mishra dengan penandatanganan itu disaksikan oleh Pengiran Hajah Rosnah.

Penandatanganan itu menandakan permulaan penyediaan Laporan Ketiga bagi Negara Brunei Darussalam mengenai Pelaksanaan MDGs Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selepas majlis penandatanganan berkenaan, seminar telah dijalankan oleh Dr Satish Moishra bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai proses-proses yang diperlukan dalam penyediaan laporan berkenaan.

Seminar itu juga sebagai satu forum bagi membincangkan dengan lebih lanjut lagi perkara-perkara berkaitan perkembangan dan isu-isu yang dihadapi oleh Focal Points MDGs dalam pengumpulan data dan maklumat MDGs yang berkaitan dengan agensi kementerian masing-masing.

Negara Brunei Darussalam telah mencapai hampir kesemua sasaran MDGs dan Laporan Negara Ketiga itu adalah sebagai susulan kepada laporan MDGs pertama dan kedua yang masing-masing telah diterbitkan pada 2005 dan 2010.

Laporan ketiga itu merupakan laporan terakhir bagi menilai pencapaian dan pengalaman negara dalam MDGs yang akan menjadi satu tanda aras sebagai persediaan negara menghadapi Agenda Pembangunan PBB Pasca-2015.

Laporan MDGs itu akan merangkumi pelbagai petunjuk pembangunan dan akan digunakan semasa Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara, PBB pada September 2015.

Sasaran MDGs pada 2015 adalah berasaskan kepada Deklarasi Milenium yang telah dipersetujui oleh 189 buah negara-negara anggota PBB semasa Perhimpunan Milenium pada September 200.

Lapan sasaran atau matlamat pembangunan yang digariskan oleh PBB adalah membasmi kemiskinan dan kelaparan, mencapai pendidikan rendah yang sejagat, meningkatkan kesaksamaan jantina dan memperkasakan wanita, mengurangkan mortaliti (kematian) kanak-kanak, memperbaiki kesihatan ibu bersalin, mencegah HIV/AIDS, malaria dan penyakit lain, memastikan alam sekitar yang mantap serta mewujudkan perkongsian global untuk pembangunan.


Sumber - Media Permata

No comments: