Posting mengikut label

Tuesday, March 10, 2015

Rumah Panjang Teraja terima kunjungan


Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 8 Mac – Kembara Merdeka Parti Pembangunan Bangsa (NDP), sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-31, diteruskan lagi dengan mengunjungi Rumah Panjang Teraja Ulu Belait dekat sini, hari ini.

Rombongan lebih 20 orang itu telah diketuai oleh Presiden NDP, Haji Mahmud Morshidi bin Haji Othman, dan disertai Timbalan Presiden, Haji Juned bin Ramlee, Naib Presiden Daerah Belait, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talip, Naib Presiden Daerah Tutong, Dato Paduka Haji Ismail bin Haji Ibrahim, dan Timbalan Pengerusi Tetap, Haji Mahdi bin Haji Suhaili serta beberapa ahli majlis tertinggi dan ahli-ahli Badan Perhubungan NDP Daerah Belait.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Ketua Rumah Panjang Teraja, Awang Jamit Anak Lasa, serta beberapa penghuni yang kebanyakannya dalam kalangan warga emas, kerana anak-anak mereka ramai yang pergi bekerja di kawasan bandar dan hanya pulang di hujung minggu atau di sebelah petang setiap hari.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Jamit melahirkan rasa gembira atas kunjungan tersebut di samping memberikan taklimat ringkas mengenai latar belakang rumah panjang dan penghuninya.

Sementara itu, Haji Mahmud Morshidi dalam ucapannya pula telah menerangkan tujuan lawatan yang merupakan sebahagian daripada Program Kembara Merdeka 2015 pertubuhan tersebut adalah untuk berkongsi kegembiraan sempena tarikh bersejarah negara.


Mengambil kesempatan merakamkan kenangan manis antara rombongan NDP dan sebahagian
penghuni Rumah Panjang Teraja sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada mereka

Mengambil kesempatan merakamkan kenangan manis antara rombongan NDP dan sebahagian penghuni
Rumah Panjang Teraja sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.

Menurutnya, kunjungan itu juga adalah untuk melahirkan penghargaan mereka atas sumbangan besar warga rumah panjang itu yang turut berperanan mengawal persempadanan negara di samping pasukan-pasukan keselamatan negara.

Beliau turut menyentuh Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Perasmian MMN, baru-baru ini, yang menyeru supaya rakyat bersedia menghadapi kesan kegawatan dunia yang mungkin akan turut dirasai oleh negara, sambil menekankan “kita semua hendaklah berusaha lebih giat bagi membebaskan diri kita daripada hanya bergantung bantuan daripada kerajaan semata-mata, dan hendaklah bersedia ke arah mengubah cara berfikir yang lebih positif dan bersikap berdikari”.

Beliau juga berharap supaya pihak-pihak berkenaan dapat memahami peranan pertubuhan mereka sebagai rakan strategik kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Dari Rumah Panjang Teraja, rombongan itu turut singgah ke beberapa buah kediaman lainnya di kalangan ahli NDP dan juga warga emas, dan diakhiri dengan mengunjungi rumah keluarga Awang Rosmadi bin Suhaili, di Kampung Mumong.

Sambil berkunjung dan beramah mesra, rombongan turut menghulurkan sumbangan dan cenderahati dengan hasrat dapat menambah ceriakan lagi perasaan mereka yang dikunjungi.


Sumber - Media Permata

No comments: