Posting mengikut label

Thursday, March 12, 2015

Penerima bantuan perlu diberi pengawasan profesional


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Mac. - Penghijrahan positif ‘mindset’ dalam kalangan penerima-penerima bantuan berlaku dengan didahului penghijrahan ‘mindset’ dalam kalangan agensi-agensi kerajaan yang terlibat mengendalikan program-program bantuan.

Yang Berhormat Datin Paduka Dayang Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman berkata, selagi agensi yang terlibat mempunyai negatif ‘mindset’ dan prejudis ke atas penerima-penerima bantuan selagi itu mereka tidak akan dapat memahami secara mendalam ‘psychology’ penerima-penerima bantuan ini dan seterusnya menjadikan mereka kurang fokus dalam merangka strategi-strategi yang tepat dan berkesan.

Yang Berhomat Datin Paduka menambah selama ini dengan ‘mindset’ yang ada, kita beranggapan dengan hanya memberikan bantuan kewangan dalam BND200 atau BND300 sebulan, dengan memberikan mereka latihan-latihan kemahiran, maka mereka ini sepatutnya sudah boleh keluar daripada kemiskinan.

“Mungkin kaedah sedemikian, mencukupi bagi mereka yang mempunyai kuat semangat untuk keluar daripada kemiskinan. Akan tetapi bagi segolongan besar yang telah hidup bertahun-tahun di dalam negara yang terkenal sebagai ‘welfare state’, keadaan tersebut hanyalah bersifat ‘superficial’,” tegasnya pada Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 - 2016 di Dewan Majlis Mesyuarat Negara, di sini.

Menurutnya, negatif ‘mindset’ dalam kalangan mereka yang lemah untuk berdikari itu merupakan satu ‘psychology’ dalaman yang memerlukan pendekatan dan penyelesaian secara profesional.

Yang Berhormat Datin Paduka mengutarakan pandangan langkah yang perlu diberikan perhatian ialah pembaikan yang dibuat secara berterusan ke atas program-program yang sepatutnya bersifat inovatif yang boleh ‘empower’ penerima-penerima bantuan dan yang paling mustahak dan wajib dilakukan ialah supaya mereka ini diberikan bimbingan dan pengawasan profesional yang dibuat secara berterusan oleh pegawai-pegawai yang mempunyai kepakaran-kepakaran tertentu.

Dari itu terdapat keperluan untuk mengadakan pasukan ‘social workers’ yang terlatih dan berkemahiran profesional yang  bukannya hanya dikenali sebagai ‘social worker’ dari segi penggunaan nama jawatan sahaja.

Jika dilihat dari perspektif tahap antarabangsa, tunggak dan nadi perkhidmatan kebajikan masyarakat adalah ‘social worker’ yang terlatih dan bertauliah.

Dalam masa yang sama, sebagai sebuah negara Islam program-program bantuan juga sepatutnya mengandungi program-program keagamaan bagi mengguatkan ‘spiritual’ mereka dan hubungan mereka dengan Allah Subhanahu Wata’ala.

Terdahulu, Yang Berhormat Datin Paduka berkata, penurunan hasil dari minyak dan gas memang sesuatu perkara yang membimbangkan kepada semua pihak.

Katanya, apabila ekonomi berkeadaan lembab, golongan yang mudah terjejas ialah golongan bawahan yang hidup di pinggiran, iaitu insan-insan yang sukar untuk hidup berdikari, orang yang kurang berupaya, orang tua yang hidup terbiar dan kanak-kanak dari keluarga miskin.

Bagaimanapun, bagi Tahun Kewangan 2015 / 2016, Yang Berhormat Datin Paduka menjelaskan, kerajaan telah berupaya mengekalkan peruntukan kewangan bagi program-program yang melibatkan bantuan kepada golongan-golongan berkenaan kecuali program bantuan di bawah Kementerian Pendidikan yang dikurangkan jumlahnya sebanyak BND500,000.

Yang Berhormat Datin Paduka menjelaskan masalah kewangan bukanlah merupakan masalah yang sangat besar kerana peruntukan perbelanjaan yang telah diluluskan sejak titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berhubung kemiskinan sifar (zero poverty) pada tahun 2008 di mana baginda telah mengurniakan dan meningkatkan peruntukan kewangan bagi isu-isu kesejahteraan, sosial dan pembasmian kemiskinan.

Di mana pada tahun 2011, peruntukan kewangan bagi isu-isu ini telah dinaikkan sebanyak lima kali ganda dari BND320 juta pada tahun 2010 kepada BND1,730 juta pada tahun 2011.

Yang Berhormat Datin Paduka berpendapat jika agensi-agensi kerajaan benar-benar mahu menyahut seruan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya memeduli semua permasalahan rakyat dan penduduk dengan mengambil perspektif yang benar-benar diyakini dapat menolong memajukan dengan mengkaji semula segala dasar strategi dan tindakan yang telah dijalankan selama ini.

Dalam pada masa yang sama, Yang Berhormat Datin Paduka juga mencadangkan agar pusat-pusat perkhidmatan pemedulian sosial diadakan seperti pendekatan yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan yang menubuhkan pusat-pusat kesihatan semata-mata untuk mendekatkan atau memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan.


Sumber - Pelita Brunei


Skim Bantuan Sara Hidup perlu dikaji semula

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Mac. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Awang Haji Othman bin Uking menyarankan agar Skim Bantuan Sara Hidup dikaji semula supaya semua rakyat yang kurang bernasib baik akan mendapat bahagian mengikut selayaknya.

Perkara ini penting,  terutama sekali mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap dan juga rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkhidmat dengan syarikat-syarikat swasta yang berpendapatan kurang daripada BND2,000 sebulan.

Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Awang Haji Othman berpendapat, mereka yang berkhidmat dengan sektor swasta juga semuanya menyumbang khidmat bakti untuk membangun negara ke arah kemajuan.

Demikian disarankan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Awang Haji Othman semasa membahaskan Rang Undang-Undang (2015) Perbekalan 2015/2016 pada Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas MMN yang meneruskan persidangan pada hari ketiga di Bangunan Dewan Majlis MMN, di sini, yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Perkara tersebut disuarakan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Awang Haji Othman berikutan terdapatnya kakitangan kerajaan yang wajib bersara setelah berkhidmat lebih 30 tahun dan setelah mencapai umur 55 tahun, tetapi mereka  tidak mendapat wang pencen bulanan dan juga tidak mendapat sara hidup seperti guru-guru perempuan, perempuan yang telah berkahwin, pekerja-pekerja 'open vote' dan pekerja-pekerja bergaji hari dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Dalam hal tersebut, jelasnya, nampak ketara perbezaan yang patut diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan supaya rezeki yang dilimpahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada rakyat dan negara ini akan 'diampit-ampiti' kepada golongan yang telah pun menabur jasa khidmat bakti mereka kepada negara dan rakyat.


Sumber - Pelita Brunei

No comments: