Posting mengikut label

Thursday, March 19, 2015

Jamin keselamatan dan sekuriti makanan


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) terus melaksanakan pelbagai insiatif bagi mempercepatkan usaha mempelbagaikan ekonomi negara melalui penyediaan iklim perniagaan dan perekonomian yang lebih kondusif; menangani isu sekuriti makanan; dan meningkatkan sosioekonomi negara.

Usaha-usaha berterusan yang dilaksanakan bagi mencapai hasrat itu adalah dengan menumpukan kepada usaha di dalam empat kluster utama iaitu Sekuriti Makanan, Mempelbagaikan Ekonomi, Sosio Ekonomi, dan Kluster Pembangunan Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) serta Koperasi.

Penumpuan kepada empat kluster utama itu diutarakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar ketika menyampaikan mukadimah mengenai peruntukan bagi KPSSU di persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini

“Saya ingin mengambil peluang di peringkat awal ini untuk menjelaskan penekanan dan fokus Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama bagi tahun 2015/2016 di mana Kementerian ini telah dicadangkan untuk disediakan dengan peruntukan sebanyak $82,194,880.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan di bawah Kluster Sekuriti Makanan kementeriannya akan terus menumpukan kepada usaha-usaha untuk memastikan keselamatan dan sekuriti makanan negara adalah terjamin memandangkan ia adalah perkara asas dan mustahak.

“Sektor pendokong dalam kluster ini adalah Sektor Pertanian dan Agri-makanan, serta Perikanan di mana fokus belanjawan untuk tahun kewangan 2015/2016 berkisar kepada meneruskan usaha-usaha untuk meningkatkan keupayaan dan produktiviti pengeluaran sektor-sektor ini.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa penekanan diberikan kepada pelaksanaan program untuk membangunkan dan menaik taraf prasarana pengeluaran; meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran; mengoptimumkan kawasan kemajuan sedia ada; memperbaiki sistem pengurusan; memindah dan menyerapkan teknologi moden; memperbaiki sistem pasaran; penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta Piawaian dan persijilan.

Sementara itu, dalam Kluster Mempelbagaikan Ekonomi, KPSSU telah mengenal pasti Industri Halal dan Industri Bio sebagai industri yang boleh dikembang majukan dalam usaha untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

“Dalam hal ini, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah mengenal pasti kawasan seluas 500 hektar di Kampung Tungku, Mukim Gadong, Daerah Brunei dan Muara, yang diberi nama ‘Bio Innovation Corridor’ (BIC) bagi menempatkan pelaburan asing dan usaha sama dalam Industri Halal sama ada dalam pengeluaran produk-produk makanan, kosmetik atau produk perubatan dan penyediaan perkhidmatan Halal.

“Dengan menggunakan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara, Fasa 1 seluas 50 hektar telah siap dimajukan dengan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan elektrik dan bekalan air dan sedia untuk ditawarkan kepada pelabur-pelabur.

“Beberapa ‘Multinational companies’ (MNCs) telah berminat untuk beroperasi di kawasan ini.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan lagi bahawa industri kedua adalah industri berasaskan bio atau sumber alam yang mana di bawah industri itu, KPSSU telah dan akan menyediakan asas-asas dan prasarana bagi memanfaatkan khazanah sumber-sumber alam semula jadi negara bagi tujuan komersil dalam jangka masa panjang.

Di antara usaha yang ditumpukan adalah memantapkan pengurusan sumber-sumber kepelbagaian bio (‘Biodiversity Resources Management’).

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa sektor perhutanan juga merupakan salah satu sektor utama yang mendokong kluster berkenaan yang mana Dasar Kerajaan adalah untuk memastikan pengurusan sumber hutan negara yang lestari atau “sustainable”.

“Satu langkah yang akan diambil adalah memberhentikan, secara berperingkat-peringkat, penuaian atau pembalakan di kawasan hutan yang berstatus Hutan Simpan.

“Rancangan jangka panjang adalah untuk meningkatkan kapasiti ekonomi negara bagi mendapatkan faedah sosio-ekonomi yang lebih bernilai tinggi daripada sumber hutan Negara sehingga mampu menjana pelaburan langsung asing (FDI).”

Bagi kluster ketiga, iaitu Kluster Sosio Ekonomi, Yang Berhormat Pehin berkata sektor pendokong dalam kluster berkenaan adalah Sektor Pembuatan dan Perkhidmatan serta Pelancongan.

“Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah dan terus menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menggalak pertumbuhan industri pembuatan dan perkhidmatan.”

Tapak dan kompleks-kompleks industri dibangunkan bagi tujuan untuk mengembang majukan sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan menempatkan perusahaan-perusahaan tersebut di tapak-tapak atau kompleks industri BINA; menarik pelaburan (tempatan dan asing) dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dan menjana peluang perusahaan untuk pengusaha-pengusaha rakyat jati.


Sumber - Media Permata

No comments: