Posting mengikut label

Tuesday, March 17, 2015

Malaysia kerjasama dengan negara jiran pertingkat keselamatan di Laut Sulu


LANGKAWI: Malaysia akan bekerjasama dengan jiran-jirannya dalam mempertingkat dan mengekalkan keselamatan di rantau ini, terutama di Laut Sulu dan Selat Melaka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah menjamin keselamatan di Selat Melaka membabitkan penyertaan Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia sendiri.

Sementara bagi keselamatan Laut Sulu, membabitkan penyertaan Indonesia, Filipina, Malaysia dan Brunei.

"Kita di Malaysia, dalam hal bersangkutan Sabah, telah menggerakkan kereta perisai 8x8 ke Tawau dan kita telah gerakkan (jet pejuang) Hawks ke Labuan," katanya kepada pemberita selepas melawat KD Jebat di sini, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga memutuskan membina terminal Tentera Udara Diraja Malaysia di lapangan terbang Lahad Datu; sementara Brunei bersetuju memindahkan pesawatnya Sikorsky S-70 Blackhawk ke Malaysia untuk kegunaan di bahagian timur Sabah.

Hishammuddin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan enam mata dengan rakan sejawatannya dari Brunei dan Indonesia bagi membincangkan hal keselamatan di rantau ini.

Mengenai Laut China Selatan, beliau berkata, ia adalah cabaran keselamatan yang boleh diselesaikan oleh 10 negara anggota Asean.

"Saya fikir ia bukan cabaran yang tidak boleh diselesaikan secara bersama atas platform Asean," katanya.


Sumber - Berita Harian

No comments: