Posting mengikut label

Wednesday, March 25, 2015

Kadar obesiti negara antara yang tertinggi


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Negara Brunei Darussalam mempunyai kadar berat badan berlebihan dan obesiti di antara yang tertinggi di rantau ASEAN, dan ia bukanlah sesuatu yang dapat dibanggakan malahan amatlah merisaukan serta harus membuka mata semua pihak untuk mengambil tindakan segera dengan tegas dan serius dalam menangani cabaran itu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof (gambar) menyatakan perkara ini dalam ucapan penangguhannya di Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari ke-13 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat Pehin mengongsikan hasil Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan menunjukkan bahawa kadar berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan orang dewasa telah meningkat daripada 44.4 peratus pada 1997 kepada 60.6 peratus pada 2011.

Manakala itu, mengikut kaji selidik Global School Health Survey 2014, baru-baru ini, di Brunei, kadar berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan penuntut atau remaja berumur di antara 13 hingga 15 tahun adalah 36.1 peratus.

“Salah satu faktor risiko yang paling membimbangkan adalah kadar obesiti yang telah meningkat di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.”

Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan hasil dapatan mengenai trend peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung, kencing manis atau diabetes dan serebrovaskular atau strok yang mana penyakit-penyakit itu adalah penyebab kematian utama di Negara Brunei Darussalam.

“Pada tahun 2013, jumlah mereka yang meninggal dunia akibat penyakit kronik dan penyakit-penyakit tidak berjangkit seramai 762 orang iaitu 54.4 peratus kematian daripada jumlah keseluruhan kematian seramai 1,400 orang di negara ini.”

Jumlah itu, tambah beliau lagi, adalah termasuk penyakit buah pinggang yang merupakan komplikasi akibat penyakit-penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal.

Beliau berkata lagi, faktor risiko yang menyebabkan penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit buah pinggang telah terbukti dan tidak dapat dipertikaikan di peringkat global adalah seperti obesiti, pemakanan tidak sihat dan tidak seimbang, kurang kegiatan fizikal dan merokok.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa isu kesihatan itu harus ditangani bersama dengan penuh keazaman dan komitmen oleh semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi, semua lapisan masyarakat dan bukan sahaja dipertanggungjawabkan semata-mata kepada Kementerian Kesihatan.

Orang ramai adalah disarankan untuk memanfaatkan sebaik-baiknya dengan melibatkan diri dalam apa jua aktiviti dan program promosi kesihatan di samping menggunakan kemudahan-kemudahan kesihatan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepertimana jua Perkhidmatan Klinik Pemeriksaan Kesihatan (Health Screening Clinic) di kesemua pusat-pusat kesihatan di seluruh negara terutama sekali mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Menteri Kesihatan, bagaimanapun, melahirkan rasa kecewa kerana didapati sambutan bagi perkhidmatan itu kurang menggalakkan dan sekali lagi menyeru kepada orang ramai dan para pemimpin akar umbi supaya menggalakkan masyarakat setempat untuk datang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan (health screening) bagi mendukung usaha memperkesankan lagi langkah-langkah pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan hasil kajian Projek Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur Kesihatan, Negara Brunei Darussalam yang menunjukkan bahawa unjuran peruntukan kewangan bagi penjagaan kesihatan yang diperlukan dianggarkan akan meningkat daripada lingkungan $380 juta setahun kepada lebih $940 juta setahun dalam tempoh 20 tahun akan datang iaitu jika perubahan serta pengukuhan sistem penjagaan kesihatan negara secara lebih efektif tidak diambil perhatian dan tindakan serius.

“Ini termasuklah juga strategi pengurusan penjagaan kesihatan dan sikap lebih bertanggungjawab individu dan masyarakat terhadap penjagaan kesihatan masing-masing.”


Sumber - Media Permata

No comments: