Posting mengikut label

Thursday, March 19, 2015

Lonjak pengeluaran beras, kembang sektor tanaman


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Pengeluaran padi atau beras di Negara Brunei Darussalam menunjukkan peningkatan tetapi ia tidak mencapai sasaran 60 peratus yang diharapkan menjelang 2015 dan adalah lebih jauh daripada yang diharapkan.

Namun begitu, hasil pengeluaran beras negara telah meningkat dari tahun-tahun sebelumnya yang mana pada 2014, negara berjaya meningkatkan penghasilan beras daripada sebanyak 1,230 tan kepada 1,380 tan.

Setelah mendapati bahawa tahap 60 peratus tidak dapat dicapai, beberapa perkara telah dikenal pasti perlu ditangani untuk meningkatkan pengeluaran beras dengan cepat, di antaranya adalah infrastruktur pengeluaran yang belum berada di tahap optimum iaitu ladang-ladang pengeluaran padi pada masa ini belumlah sesuai untuk mencapai pengeluaran yang lebih cepat.

“Ini telah pun diuruskan dan peruntukan telah disiapkan dalam peruntukan-peruntukan tahunan dan juga peruntukan Belanjawan Rancangan Kemajuan Negara untuk meningkatkan infrastruktur pengeluaran ladang-ladang di negara ini.”

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari ke-9 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Kawasan-kawasan padi yang berkualiti telah pun meningkat dan diharap usaha itu dapat melonjakkan pengeluaran padi negara dengan keupayaan ladang berkenaan dan juga dengan kebolehan para petani untuk mengeluarkan hasil yang lebih tinggi. Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara ini ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal mengenai tahap pengeluaran padi di Negara Brunei Darussalam dan usaha untuk mengembangkan sektor tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan supaya negara mampu mencapai sara diri.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa usaha-usaha yang telah diperkenalkan untuk meningkatkan lagi pengeluaran padi adalah dengan mendapatkan jenis atau variety padi yang mengeluarkan hasil yang banyak atau high yield variety, di mana beberapa jenis padi telah dikenal pasti mampu untuk mencapai pengeluaran padi atau beras yang tinggi.

Mengulas mengenai usaha untuk meningkatkan hasil-hasil pertanian lain yang dimajukan, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan pada masa ini, belum berada pada tahap yang memuaskan.

Tetapi usaha giat dilaksanakan untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor pertanian dengan penyediaan bantuan-bantuan dan usaha untuk meningkatkan prasarana ladang-ladang.

Selain daripada sayur-sayuran, ulas Yang Berhormat Pehin, berikutan dengan penjenamaan Jabatan Pertanian menjadi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, pengeluaran produk-produk utama pertanian (Primary Sources) seperti padi dan bahan-bahan pertanian juga dipertingkatkan.

“Agrimakanan bertujuan untuk mengembang majukan pertanian itu melalui pemprosesan bahan-bahan pertanian. Jadi ini diharap akan menjadi satu peningkatan dalam pengeluaran bahan-bahan makanan atau pembuatan barang-barang pertanian.” Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman mengulas mengenai usaha kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara khususnya dalam mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara adalah amat dialu-alukan.

Dalam hubungan usaha pihak kerajaan untuk memajukan PKS tempatan, beliau mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas sama ada bersifat seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei atau sebuah perbadanan supaya segala langkah dapat dijalankan secara teratur dan berkesan serta pengawasan dan penilaian dapat dibuat secara menyeluruh dan berterusan.

“Dengan adanya agensi khas itu nanti, maka Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei bolehlah menumpukan kepada kerja-kerja FDI dan industri ICT sementara agensi khas itu nanti akan menumpukan kepada PKS.”

Di samping itu juga, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah berpandangan bahawa keengganan PKS untuk terus berkembang menunjukkan bahawa PKS mempunyai kapasiti rendah yang mana kapasiti itu memerlukan peningkatan dan bukan hanya dari segi kapasiti kewangan sahaja tetapi juga kapasiti syarikat menjalankan operasinya yang mempunyai hubung kait dengan kewujudan suasana pro-perniagaan yang betul seperti kewujudan undang-undang dan prosedur yang mungkin menyekat perkembangan PKS.

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah juga mencadangkan bagi penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (Research and Development) yang dikhaskan untuk membantu meningkatkan kapasiti PKS supaya mereka tidak akan berhenti setakat tangga pertama sahaja.

Mengulas cadangan yang dikemukakan itu, Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya berkata berhubung dengan PKS itu, satu badan khas telah ditubuhkan yang mana salah satu tugas badan khas itu adalah untuk menimbangkan cara untuk meningkatkan kapasiti pengusaha-pengusaha mikro, kecil dan sederhana negara termasuk juga keupayaan-keupayaan mengadakan perkembangan penyelidikan dan pembangunan.


Sumber - Media Permata

No comments: