Posting mengikut label

Monday, March 30, 2015

HAWA hulur sumbangan air mineral


Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 27 Mac – Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) hari ini telah menghulurkan sumbangan bantuan air mineral untuk diserahkan kepada Pos Kawalan Insiden di kawasan Jalan Pirau Mumong dekat sini.

Timbalan Ketua HAWA NDP Pusat Dayang Kartini Abd Manap menyerahkan sumbangan air mineral di Pos ICP hari ini
Bantuan tersebut yang antara lain bertujuan untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada semua yang terlibat dalam Operasi Memadam Kebakaran Hutan berlaku di Daerah Belait telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Himpunan Wanita Pusat NDP Dayang Kartini binti Abd Manap, diiringi bersama oleh Naib Ketua Badan Perhubungan NDP Daerah Belait Dayang Rosiah binti Alah.

Sumbangan tersebut juga merupakan salah satu aktiviti berkebajikan kumpulan tersebut melalui Projek Jejak Ehsan mereka yang dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun. Kotak-kotak air mineral itu diserahkan di Pos Kawalan Insiden dekat sini, yang telah diaktifkan ekoran kejadian kebakaran hutan yang berterusan di kawasan Pirau Seria sejak 23 Mac lalu melalui arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belait (DDMC Belait) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman pada hari yang sama.

DDMC diaktifkan bagi memastikan keselamatan orang awam dan juga pasukan bertindak kecemasan adalah terjamin, serta bagi mengawal kerosakan kepada alam sekitar dengan menggunakan kaedah dan sumber pemadam kebakaran yang bersesuaian.


Sumber - Media Permata

No comments: