Posting mengikut label

Wednesday, March 25, 2015

Kecilkan ‘hierarchy bureaucracy’ bagi cepatkan keperluan rakyat


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Mac. - Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Abdullah bin Haji Mohd. Ja’afar berkata, adalah perlu dan mustahak memperkecilkan ‘hierarchy bureaucracy’ bagi mempercepatkan sesuatu keperluan rakyat.

Tambahnya, kelambatan kementerian dan jabatan-jabatan berkenaan mungkin disebabkan kekurangan pemahaman, komitmen dan dedikasi serta kecuaian daripada pegawai-pegawai dan pemimpin khususnya ketua bahagian dan juga kakitangan yang diamanahkan.

Perkara ini disuarakan oleh Yang Berhormat ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas MMN yang bersidang bagi hari yang ke-13 di Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat dalam ucapannya juga melahirkan keprihatinan terhadap kelicinan pengurusan pentadbiran, pemantauan dan perhubungan di peringkat daerah, yang mana Yang Berhormat menyarankan supaya kedudukan pegawai daerah itu diiktiraf sebagai ketua daerah dan jabatan-jabatan dari kementerian lain di daerah tersebut di bawah pemantauan pegawai daerah.

“Ini untuk memastikan rancangan-rancangan pembangunan di peringkat daerah dapat dikongsi bersama bagi mengelakkan kerja-kerja ‘overlapping’ dan konsep efisiensi dan keseragaman dapat berjalan dengan baik dan teratur,” jelas Yang Berhormat.

Di bawah kuasa pegawai daerah, perlu diadakan permuzakarahan sekerap mungkin dalam kalangan ketua jabatan di daerah tersebut, di samping permuzakarahan pemimpin-pemimpin akar umbi selain dari penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung perlu juga diadakan.

Secara langsung, kata Yang Berhormat, penglibatan rakyat dalam proses pembangunan dapat dicapai secara bersama yang mana ini serupa dengan konsep Majlis Mesyuarat Daerah yang pernah ditubuhkan pada tahun 1960-an.

Yang Berhormat dalam ucapannya melahirkan sukacita atas dasar baru pengambilan pekerja asing dan memperkenalkan pendekatan baharu proses mempercepatkan urusan perniagaan termasuk mengeluarkan lesen kepada peniaga-peniaga tempatan.

Dasar ini kata Yang Berhormat, akan dapat melahirkan ramai usahawan Melayu bumiputera yang memiliki perusahaan dan perniagaan sendiri.

Dalam Wawasan Negara 2035 ujar Yang Berhormat, salah satu keutamaan ialah memajukan sektor swasta bagi meningkatkan dan memartabatkan ekonomi memerlukan penglibatan rakyat dalam menggerak peluang-peluang yang ada di sektor berkenaan.

Mempelbagaikan ekonomi adalah salah satu mekanisme yang boleh meningkatkan ekonomi dari terus bergantung pada hasil minyak dan gas, kata Yang Berhormat.

“Kaola berpendapat industri pelancongan adalah salah satu sektor dan usaha yang boleh dikembangluaskan dan boleh menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat seperti yang pernah dijanjikan,” ujarnya.

Untuk menjayakan industri pelancongan ini, kerjasama yang padu antara pihak kerajaan dan swasta hendaklah diwujudkan, tegas Yang Berhormat lagi.


Sumber - Pelita Brunei

No comments: