Posting mengikut label

Sunday, March 1, 2015

NDP ceriakan keluarga susah


Oleh Hajah Saemah Kepli

TUTONG, 27 Feb – Rombongan Parti Pembangunan Bangsa (NDP), hari ini telah mengadakan kunjungan ke beberapa buah rumah mereka yang memerlukan di kawasan bandar hingga ke pedalaman daerah ini, menerusi Program Kembara Merdeka 2015.

Mengetuai rombongan program tersebut ialah Presiden NDP, Haji Mahmud Morshidi bin Haji Othman, dan disertai sama oleh Naib Presiden Daerah Belait, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Talib dan Naib Presiden Daerah Tutong, Dato Paduka Haji Ismail, beberapa ahli majlis-majlis tertinggi pertubuhan tersebut, serta beberapa ahli Himpunan Wanita parti itu (HAWA NDP).

Program tersebut yang antara lain bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-31 Tahun 2015 dengan mengunjungi mereka yang kurang berkemampuan dengan hasrat menggembirakan mereka dan untuk menyuntikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan ahli-ahli pertubuhan.

Antara yang dikunjungi termasuklah seorang ketua keluarga, Awang Angsa bin Idon, 68, yang lumpuh separuh badan, di Kampung Serbangun Tutong, dan kini masih menanggung isteri, dan seorang anak istimewa.

Tiga anaknya yang lain sudah berumah tangga dan mempunyai pendapatan sederhana, dan tidak mampu membantu membaiki rumah orang tua mereka yang mengalami banyak kerosakan, seperti bahagian atap, dinding dan sebagainya.


Kembara Merdeka NDP 2015 menghulurkan sumbangan kepada Awang Angsa

Turut dikunjungi ialah Dayang Mayang Anak Pangkat, 46, yang tinggal bersama empat anaknya di sebuah pondok daif di kawasan Kampung Sengkarai, Tutong.

Wanita ini mendakwa diabaikan oleh suaminya yang tidak pernah menunaikan tanggungjawab sehingga mereka terpaksa tinggal menyewa di pondok buruk dengan sewa $170 sebulan, yang dibayar dengan mengumpulkan gaji kecil anak-anaknya yang bekerja di syarikat swasta. Dalam usaha lain, Dayang Mayang turut menjual sayur di pasar.

Kembara kemudiannya diteruskan dengan mengunjungi pasangan suami isteri warga emas di Kampung Rambai pedalaman Tutong, iaitu Awang Abdul Rahman bin Abdullah Yakin @ Bungah bin Yakin, 78, dan isterinya, Dayang Aisah binti Mohd Raidin, 66.

Kedua-dua mereka kelihatan begitu ceria semasa kunjungan itu, kerana kini mereka tinggal di sebuah rumah yang baru siap dibina dengan bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pasangan warga emas itu sebelum ini tinggal di sebuah pondok padi, yang sudah rosak, bersama seorang anak angkat lelakinya.


Pondok daif yang didiami oleh Dayang Mayang di Kampung Sengkarai Tutong

Rombongan mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada
pasangan warga emas di Kampung Rambai Tutong

Dayang Aisah dengan nada yang gembira memberitahu, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkenaan yang telah memberikan bantuan membina rumah mereka.

Menurutnya, kini mereka anak beranak boleh tidur nyenyak dan selesa, tidak lagi dihantui kebimbangan semasa hujan turun dan angin kencang kerana sebelum ini, mereka sentiasa diselubungi rasa takut jika angin kencang, hujan turun kerana pondok mereka sering dilanda banjir ditenggelami sehingga setinggi pinggang.

“Kami turut mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak badan NGO yang sentiasa datang mengunjungi kami dan menghulurkan sumbangan keperluan kami, sebagai warga emas kami hanya mampu mendoakan, semoga Allah sahaja yang membalasnya,” kata Dayang Aisah.

Sebelum ini, melalui program tersebut, NDP juga telah berkunjung ke kediaman mantan ahli-ahli majlis tertinggi pertubuhan itu yang uzur di keempat-empat daerah.

Di samping itu, NDP juga telah menyertai perbarisan Hari Kebangsaan yang telah diadakan di Taman Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 23 Februari lalu, dan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-31 tahun 2015 yang diadakan di Markas Jalan Jerudong.


Sumber - Media Permata

No comments: