Posting mengikut label

Wednesday, March 18, 2015

Kementerian Pembangunan teliti bina skim perumahan di kawasan pedalaman


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, cadangan bagi mengadakan skim perumahan di kawasan-kawasan pedalaman masih dalam penelitian.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab soalan yang ditimbulkan oleh Wakil Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dilantik dari daerah-daerah, Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad tentang skim perumahan di kawasan pedalaman bagi mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar-bandar.

“Tetapi perkara itu mestilah dipohonkan melalui Ketua Kampung dan Pegawai Daerah. Kemudian Pegawai Daerah akan menghadapkan kepada Kementerian Pembangunan berapa jumlah yang akan dibangun. Kita memang membuat cara berlainan daripada biasanya. Kita tidak akan membangun misalannya 100 unit, 200 unit ataupun berpuluh-puluh unit. Kita hanya akan membangun mengikut 'demand' di kawasan-kawasan tertentu. 'Demand' itu akan ditentukan oleh Ketua Kampung,” Jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan pada Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2015 di hari kelapan yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Tambah Yang Berhormat Menteri Pembangunan, kementeriannya telah pun merancang mana-mana permohonan akan dipertimbangkan jika berpatutan dan jika orang yang memohon itu memang berhak dan berasal daripada kampung itu dan tidak akan pindah ke mana-mana.

Yang Berhormat juga menegaskan agar para pemohon tidak membiarkan rumah-rumah tersebut kosong apabila ia sudah siap dibangunkan.

"Perkara ini lebih baik ditangani oleh Ketua Kampung dan jika ada keperluan, berunding dengan Pegawai Daerah. Jika Pegawai Daerah mengakui perkara itu kepada pihak Kementerian Pembangunan, Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP). InsyaaAllah kita akan menimbangkan secara positif permohonan itu. Cadangan itu memang ada tapi untuk memulakannya mestilah daripada pihak kampung berkenaan. Pihak Kementerian Pembangunan belum lagi memperuntukkannya kerana kita tidak tahu berapa jumlah yang perlu dibangunkan,” jelas Yang Berhormat lagi.

Menyentuh tentang isu kerja-kerja pemotongan rumput di kawasan-kawasan perumahan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan, kawasan berkenaan adalah antara kawasan-kawasan Rancangan Perumahan Negara dengan sempadan jalan raya dan adalah tanah kerajaan yang sebelum ini tidak ada dipertanggungjawabkan kepada sesiapa untuk memeliharanya.

Kementerian Pembangunan telah mengambil tindakan mengenai isu pemotongan rumput dan penyelarasan telah pun dibuat di antara JKP dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah dipersetujui akan diambil tindakan mengikut kawasan masing-masing.

Bagi kawasan-kawasan yang tidak termasuk kawasan Rancangan Kemajuan Perumahan Negara akan dilaksanakan oleh pihak JKR dan yang termasuk dalam kawasan Rancangan Kemajuan Perumahan Negara akan dilaksanakan oleh JKP.


Sumber - Pelita Brunei

No comments: