Posting mengikut label

Friday, March 6, 2015

TITAH KDYMM SEMPENA ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MMN KE-SEBELAS 2015




Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-11 Bagi Majlis Mesyuarat Negara

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Beta terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah kepada Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib di atas pelantikannya sebagai Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara yang baru.

Beta berharap Yang Di-Pertua Majlis akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebaik mungkin demi mempertingkatkan lagi martabat Majlis Mesyuarat Negara dalam melaksanakan peranannya sebagai sebuah institusi penting dalam pembangunan negara.

Di kesempatan ini juga, beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Dato Perdana Menteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, di atas khidmat bakti tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkannya selama menjadi Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis Mesyuarat Negara tidak syak lagi berperanan besar dalam memacu pembangunan negara. Menyebut Majlis Mesyuarat Negara dengan sendirinya kita juga akan mahu tahu siapakah ahli-ahlinya. Mereka ini tentu saja tokoh-tokoh yang berkaliber yang mampu untuk mengetengahkan pendekatan-pendekatan terbaik untuk pembangunan. Di antara pendekatan itu ialah penyerapan positif mindset kepada rakyat supaya mereka lebih matang bertindak selaras dengan tuntutan zaman.

Ahli Majlis yang berpandangan jauh, kita yakin akan dapat menghidangkan idea-idea besar mereka untuk kemajuan negara. Penghijrahan mindset daripada semata-mata suka bergantung kepada bantuan kepada lebih berdikari dan berusaha adalah suatu kelebihan yang perlu dihuraikan oleh majlis ini. Kita adalah dikehendaki peka dengan situasi yang ada hari ini khasnya dalam perkara ekonomi global yang sedang menunjukkan penurunan ketara, seperti harga minyak yang jauh merudum. Situasi ini sepatutnya akan menambahkan lagi keazaman kita untuk lebih memperkukuh asas-asas atau fundamental ekonomi negara.

Di antara usaha pengukuhan itu termasuklah memperkasa sektor awam dengan menjadikannya lebih berkesan dan berkualiti di dalam perkhidmatan untuk orang ramai. Demikian juga ia sangat diperlukan untuk merangsang iklim perniagaan dan perekonomian yang lebih kondusif.

Dari aspek kewangan kita juga perlu mengekalkan dasar kestabilan fiskal atau fiscal stability, terutamanya dalam mempertimbangkan peruntukan kewangan dan perbelanjaan negara yang menitikberatkan perbelanjaan berhemah dan value for money, dengan amalan seperti ini insyaaAllah akan membolehkan negara menjimatkan perbelanjaan dan mampu untuk menabung lebihan pendapatan bagi menampung peruntukan-peruntukan di saat yang memerlukan. Perkara ini juga perlu berlaku dalam pengurusan perbelanjaan di peringkat individu dan keluarga.

Di bidang pekerjaan pula perhatian perlulah bulat untuk menggerakkan anak-anak tempatan bagi mengisi peluang-peluang yang ada, kita mesti mengkaji dengan saksama, di mana dan berapa lama lagi anak-anak tempatan kita harus tercicir tidak diberi kesempatan untuk memenuhi peluang-peluang yang ada itu. Di sektor industri yang menjadi nadi ekonomi negara berapa banyak peluang atau jawatan penting yang masih dimonopoli oleh pekerja-pekerja asing, sekalipun kita telah melalui masa yang begitu panjang. Ini semua tidak patut dipandang dengan sebelah mata sahaja, tetapi perlu dipantau dan dimuhasabah.

Beta melihat perkara ini juga turut memerlukan perhatian majlis. Satu lagi bidang yang penting untuk diberikan perhatian ialah bidang keusahawanan. Ia mustahak seimbang dalam makna ia tidak boleh diceburi hanya oleh segelintir pihak tertentu sahaja, tetapi biarlah ramai, kerana ramai itu menterjemahkan
adanya kemajuan.

Para usahawan mesti bergerak mengembangkan perniagaan dan industri masing-masing. Tanpa terhenti setakat tangga pertama sahaja, tetapi perlu mendakinya sehingga sampai ke puncak. Semua ini beta timbulkan ialah bagi menarik perhatian majlis supaya tetap fokus kepada perkara-perkara besar dan mencabar, bukannnya yang membawa kita leka dan lemah.

Akhirnya, beta menyeru kepada semua pihak yang berkenaan supaya dalam memeduli semua permasalahan rakyat dan penduduk kita hendaklah mengambil perspektif yang benar-benar diyakini dapat menolong memajukan mereka. Apa jua isu atau permasalahan kita tangani ia dengan baik melalui perundingan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments: