Posting mengikut label

Wednesday, March 25, 2015

Jangan hanya mengharapkan bantuan tanpa berusaha


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Mac. - Golongan-golongan yang mendapat bantuan dari pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan terutama bagi golongan yang masih berupaya dari sudut sihat tubuh badan, sihat mental dan fizikalnya dan masih mampu melakukan pekerjaan supaya dapat mengubah sikap mereka lebih positif dan tidak hanya mengharapkan bantuan tanpa berusaha dan berdikari.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Datin Paduka Dayang Hajah Zasia binti Sirin menekankan demikian pada ucapan penangguhan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas MMN di Dewan Bangunan MMN.

Justeru itu, Yang Berhormat berharap ia bukan sahaja diletakkan atas kemampuan mereka semata-mata tetapi memerlukan pemikiran, penelitian dan strategi-strategi yang berkesan daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Menyentuh kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas MMN mengenai pendekatan penyerapan positif 'mindset' kepada rakyat iaitu "penghijrahan 'mindset' daripada semata-mata bergantung kepada bantuan kepada lebih berdikari dan berusaha" menurutnya titah tersebut adalah satu pandangan yang jauh dan bernas yang semestinya dijunjung tinggi.

"Alhamdulillah, kita juga mendengar penjelasan terperinci bagaimana pelaksanaan bantuan yang diberikan oleh pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Majlis Ugama Islam dan agensi-agensi dalam kerajaan yang mana beberapa strategi juga telah dilakar oleh Jawatankuasa Khusus Menangani Isu Kemiskinan semata-mata dengan harapan golongan yang berkaitan akan terlepas daripada lingkaran kesempitan hidup dan kemiskinan," jelasnya.

Hal ini tambah Yang Berhormat kerana isu kemiskinan di negara ini adalah sebagai kemiskinan relatif tidak seperti keadaan kemiskinan di sesetengah negara lain.

"Kalau ini sudah menjadi dapatan atau 'finding' dalam setiap kajian kemiskinan, maka memang perlu dicari jalan supaya ada perubahan sikap yang positif, bersemangat dan seterusnya berusaha dan berdikari," katanya.

Oleh itu, Yang Berhormat menjunjung tinggi titah baginda untuk menyerapkan 'positive mindset' kepada rakyat supaya lebih matang bertindak selaras dengan tuntutan zaman. Perkara ini menjadi tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah sebagai pemimpin, pengurus, pentadbir dan seterusnya di semua peringkat untuk berkhidmat kepada rakyat dan penduduk dalam kategori peranan yang berbeza-beza.


Sumber - Pelita Brunei

No comments: