Posting mengikut label

Monday, March 16, 2015

Rancang ‘Bruneiansation’ jawat jawatan dalam syarikat


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 11 Mac. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menyarankan agar syarikat-syarikat di negara ini merancang secara berperingkat-peringkat untuk menempatkan anak-anak tempatan atau Bruneiansation untuk  menjawat jawatan-jawatan dalam syarikat-syarikat mereka.

Perkara ini amat penting, berikutan tempoh tiga tahun permit bagi pekerja asing yang dicadangkan, yang  kini sedang dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di mana dalam dasar baharu pengambilan pekerja asing itu jika pekerja asing itu masih diperlukan lagi, dan tidak ada anak-anak tempatan yang dapat mengisi kekosongan dalam syarikat-syarikat berkenaan, maka mereka dibenarkan untuk mengambil, memasukkan pekerja asing, jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menjelaskan demikian ketika menjawab isu yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Abdullah bin Haji Mohd. Jaafar, pada Majlis Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang pada hari kelima di Bangunan Dewan MMN, di sini.
Dalam majlis itu, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Abdullah memberikan beberapa cadangan tambahan kepada syarat-syarat yang ada dalam pengawalan pengambilan pekerja asing ini di negara ini, yang masih belum mencukupi.

Cadangan itu adalah bersesuaian dengan yang pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menyarankan Ahli-ahli Yang Berhormat bukan sahaja menyoal dalam Mesyuarat Dewan Majlis, tetapi juga untuk memberi cadangan-cadangan yang baik dan bernas dalam sama-sama memajukan negara ini.

Di antara cadangan Yang Berhormat adalah seperti yang berikut:

* Tuan punya syarikat hendaklah menjalankan perniagaannya sendiri, jika ia melantik pekerja-pekerja asing untuk menguruskan perniagaannya, maka ia semestinya melantik pekerja-pekerja tempatan sebagai penolong pengurusnya. Permit pekerja asing tersebut dibenarkan bekerja hanya selama tiga tahun dan permitnya tidak boleh disambung lagi. Jawatan pekerja asing ini diambil alih oleh pekerja tempatan;

* Tuan punya syarikat hendaklah menunjukkan sumber-sumber kewangannya;

* Tuan punya syarikat hendaklah bertanggungjawab di atas kehalalan barang-barang yang dijualnya;

* Produk-produk perubatan termasuk makanan, ‘supplement’ hendaklah mendapatkan sijil-sijil menjual produk-produk dari Kementerian Kesihatan dan dipamerkan di papan kenyataan; dan

* Pekerja-pekerja asing yang dibenarkan bekerja di Negara Brunei Darussalam dihadkan selama tiga tahun sahaja. Dalam masa yang sama, pekerja tempatan diambil bekerja dan dilatih untuk mengambil alih tugas-tugas yang dibuat oleh pekerja asing.

Dalam kesempatan itu Yang Berhormat mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri atas pindaan Lesen Rampaian kepada Business License Act Chapter 127-2015.
Akta ini, menurut Yang Berhormat telah mendukung dan memudahkan peniaga-peniaga mendapat Lesen Perniagaan dengan mengeluarkan permit khas, di  samping memudahkan syarikat-syarikat yang baharu untuk mengambil pekerja asing  dan mendapat permit khas dalam tempoh tujuh hari.
Walau bagimanapun dasar pengawalan pekerja asing adalah mengikut zon-zon yang ditetapkan dan ini hanyalah bagi peniaga restoran, kedai-kedai runcit, peniaga kain dan tekstil. Dan sejak akta ini diluluskan pada 1 Januari 2015 Masihi, dalam masa dua minggu sebanyak 208 buah syarikat didaftarkan dan dikeluarkan Lesen Perniagaan.

Di samping itu Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Abdullah juga menyokong ‘statement’ Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa pembukaan Job Fair 2015 Masihi,  yang mengharapkan majikan-majikan lebih ‘transparent’ dalam kadar gaji yang ditawarkan, elaun-elaun, jumlah cuti dan kemudahan-kemudahan lain diberikan kepada pekerja tempatan atau yang lebih baik daripada tawaran yang diberikan kepada pekerja asing.

Yang Berhormat yakin semua dasar pengawalan pekerja asing ini bertujuan mengurangkan pekerja-pekerja asing dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dan penduduk tetap di negara ini.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh pada tahun 2013 Masihi, keramaian pekerja di sektor swasta ini ialah 141,850 orang iaitu 927 orang atau 64 peratus adalah pekerja asing, 40,620 orang atau 26 peratus rakyat Brunei dan 9,255 orang atau 65  peratus adalah penduduk tetap, jelas Yang Berhormat.

Ketika menjawab isu yang dicadangkan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, menjelaskan tahniah itu bukan sahaja kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri tetapi juga  kepada Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama sebagai minor dalam mengenai Pindaan Lesen Rampaian untuk memudahkan dan memulakan bisnes itu dan yang paling penting juga ialah Unit PENGGERAK di Jabatan Perdana Menteri dan termasuk Jabatan Peguam Negara.


Sumber - Pelita Brunei

No comments: