Posting mengikut label

Tuesday, December 11, 2012

Kanak-kanak Islam diwajibkan sekolah agama


Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli

SERIA, Isnin, 10 Disember. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) meneruskan lagi Sesi Taklimat Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 bagi membariga dan memberi maklumat yang jelas mengenai perintah tersebut di Pusat Insani, di sini.

Sesi taklimat sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Guru kali ke-22 bagi tahun 2012 mengenai penggubalan undang-undang yang dikenali sebagai Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013.

Taklimat yang diadakan hari ini telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Bahagian Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yussof menerangkan mengenai kandungan 'Akta Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012' dan dihadiri oleh agensi kerajaan termasuk pegawai-pegawai kerajaan, guru-guru besar sekolah-sekolah agama, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.

Perintah tersebut dikenakan kepada kanak-kanak Islam yang berumur wajib bersekolah agama (yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2006), yang tinggal di negara ini dan sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu atau bapa mereka terdiri daripada warganegara Brunei Darussalam atau Penduduk Tetap.

Tujuan persekolahan agama antara lain bagi mendidik kanak-kanak faham, percaya, mengamalkan ajaran agama Islam, mengajar supaya kesedaran beragama dalam jiwa kanak-kanak dan memimpin kanak-kanak supaya minat ajaran agama hingga dewasa serta membentuk budi pekerti kanak-kanak supaya taat dan patuh berasaskan ajaran Islam.

Oleh itu tiap-tiap ibu bapa hendaklah menyekolahkan anak-anak mereka yang berumur wajib bersekolah agama pada 1 Januari dalam tahun bersekolah semasa (2013) dan memastikan anak mereka itu didaftarkan sebagai murid di sebuah sekolah agama pada tahun tersebut dan terus menjadi seorang murid bagi tempoh pendidikan agama wajib untuk selama tujuh tahun tetapi boleh tamat antara tujuh dan lapan tahun.

Ibu bapa yang melakukan suatu kesalahan di bawah perintah tersebut dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi daripada BND5,000, dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang enggan hadir dalam mana-mana prosiding Lembaga; enggan memberikan sebarang maklumat atau mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan kepada Lembaga; memberikan sebarang maklumat atau mengemukakan dokumen palsu dalam suatu butiran mustahak dan diketahui sebagai palsu atau dia tidak mempercayainya sebagai benar; atau menghalang Setiausaha Tetap, Lembaga atau mana-mana orang yang bertindak di bawah arahan Lembaga, dianggap melakukan suatu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi daripada BND5,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dengan pelaksanaan perintah tersebut kepada segenap lapisan masyarakat, khusus masyarakat Islam di negara ini, Islam akan terus utuh dan bertapak teguh dan iltizam kehidupan beragama akan dapat diperkasa dan dipertahankan serta terus dimartabatkan untuk sama-sama membangun agama, bangsa dan negara ke arah mencapai Wawasan 2035.

Sesi taklimat telah diadakan sebanyak lapan fasa yang disasarkan kepada agensi kerajaan dan swasta serta pemimpin masyarakat di negara ini bermula bulan November dan Disember tahun ini.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: