Posting mengikut label

Thursday, December 20, 2012

Penghasilan padi domestik capai sasaran


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis - Setakat 2011 hasil padi negara berada pada tahap pada 4.4%, meskipun masih rendah pada permintaan peringkat kebangsaan, namun pada perspektif jumlah penghasilan domestik hasil padi itu kini mencukupi dan mencapai sasaran yang dihasratkan.

Perkara itu ditegaskan oleh Agronomis Projek Penghasilan Beras Negara, Dayang Khairunissa Haji Omar Ali ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian kontrak untuk projek-projek di Dewan Simpur Hortikultur Rimba.

Menurutnya, penubuhan Infrastruktur Utama Penghasilan Baka Projek Padi Daerah Brunei dan Muara itu akan memangkinkan penghasilan anak benih untuk kegunaan domestik yang akan menjana hasil tuaian yang berbaloi.

"Kita memerlukan baka benih yang baik dan berkualiti dan sehubungan itu jugalah Jabatan Pertanian cuba membuat standard kepada penggunaan anak benih supaya tidak bercampur aduk dengan baka lain dalam pasaran domestik," ujarnya.

Beliau menambah bahawa mereka mendapatkan baka daripada projek penanaman anak benih yang terdapat sebelum ini dan ia dihasratkan akan diperkembangkan lagi dengan terbinanya pusat baka padi yang bakal dibina nanti.

Dayang Khairunissa seterusnya menegaskan bahawa ia (Infrastruktur Utama Penghasilan Baka Projek Padi) pastinya akan menyumbang kepada penjimatan kos penghasilan benih serta memastikan kualiti dan kuantiti hasil padi tempatan.

Ditanya tentang paip pengairan pada majlis itu hari ini, seorang lagi Pegawai Jabatan Pertanian yang ditemui iaitu Pegawai Parit dan Tali Air, Awang Mohd Jemin Sura menjelaskan bahawa laluan paip pengairan Pangkalan Batu dan Junjongan yang akan menyalurkan sumber air masuk dan keluar ke kawasan Skim Padi di Daerah Brunei dan Muara di Batong, Junjongan, Bebuloh, Panchor Murai dan Batang Perhentian dalam masa 20 bulan lagi.

Menurutnya selain memberikan sumber air yang mencukupi, ia juga akan menjimatkan kos kepada penguasa padi negara kerana mereka tidak perlu menggunakan pam air peribadi yang terpaksa ditanggung sendiri perbelanjaannya sejurus siap saliran itu pada 31 Mei 2014.

Apabila ditanya mengenai kesan musim hujan dan kenaikan air kepada penanaman padi di negara ini, beliau menjelaskan bahawa kawasan rendah setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah, namun bagi kawasan yang sedikit tinggi masih memerlukan sumber air yang banyak.

Dayang Khairunissa pula menambah keadaan banjir di negara ini tidak lama, kerana padi akan musnah jika terdedah kepada air melebih tiga hari.

"Kita masih cuba untuk mencapai ke tahap yang dihasratkan sebagai enam peratus pada 2015 dan dengan penubuhan infrastruktur utama penghasilan baka projek padi bagi Daerah Brunei dan Muara ini akan memberikan ruang untuk penghasilan benih Laila dan cantuman serta mana-mana jenis padi lain," ujarnya Khairunissa lagi.

Menurutnya masih terlalu awal untuk menduga apa jua hasilnya namun pihak Jabatan Pertanian sememangnya terus komited mencapai ke tahap yang dihasratkan itu nanti.

Sementara itu, Awang Mohd Jemin Sura menjelaskan bahawa pembinaan salur pengairan ini dikhaskan bagi ladang-ladang yang berskala besar dan komersial bagi permintaan kebangsaan dan ia juga akan memberikan sumber air ke kawasan terbaru di Junjongan bagi memastikan penghasilan berskala besar juga turut disaksikan di sana nanti.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: