Posting mengikut label

Friday, December 28, 2012

Permasalahan belia semakin meruncing


Oleh: Abu Bakar Haji Abdul Rahman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Disember. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned berkata jenayah yang melibatkan harta benda yang paling tinggi di negara ini ialah curi dan melibatkan belia-belia yang berumur 35 tahun ke bawah selain terdapatnya kes-kes curi yang dilakukan oleh belia-belia yang berumur 17 tahun ke bawah.

Selain dari itu, kes belia-belia yang menyalahgunakan dadah katanya juga meningkat.

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab menyatakan perkara tersebut semasa menyoroti antara kenyataan dan statistik permasalahan belia di negara ini pada Majlis Penutup Program Perkhemahan Belia Melayu Islam Beraja (MIB) di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM, di sini.

"Dari tangkapan disebabkan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun antara 2009 hingga 2011, dari kira-kira 1,600 tangkapan sebanyak 51 peratus melibatkan belia-belia yang berumur di antara 16 hingga 30 tahun dan ini tidak termasuk hampir dua peratus terdiri dari kalangan penuntut di samping ada yang berumur 15 tahun ke bawah," tambahnya.

Secara amnya, tangkapan yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini jelas Yang Mulia Dato melibatkan 86 peratus lelaki, 82 peratus terdiri dari rakyat, 84 peratus ialah orang orang melayu, 50 peratus terdiri dari mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, 48 peratus yang masih bujang dan 39 peratus yang sudah berumahtangga.

Dalam pada itu, kes penyalahgunaan dadah ini tambahnya, juga adalah di antara tiga kesalahan tata-tertib yang tertinggi di dalam perkhidmatan awam di samping kesalahan tidak hadir bekerja dan penyalahgunaan kuasa.

Di majlis tersebut, Yang Mulia juga menyentuh mengenai kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan ringan di dalam tempoh lima tahun mulai 2008 hinga 2012 di mana lebih 50 peratus kemalangan tersebut melibatkan pemandu-pemandu yang berumur 28 tahun ke bawah selain sembilan peratus dari bilangan ini adalah yang di bawah umur termasuk 89 pemandu yang terlalu muda untuk memandu.

Kadar ini tegasnya, adalah hampir sama bagi kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan yang parah di mana 50 peratus daripada pemandu yang terlibat di dalam kemalangan ini adalah berumur 28 tahun ke bawah dengan sebelas peratus darinya terdiri daripada pemandu yang di bawah umur 17 tahun ke bawah.

"Dalam tempoh empat tahun kebelakangan dari 2009 hingga 2012, 68 pemandu kereta terbunuh di dalam kemalangan jalan raya dalam mana 66 peratus daripada mereka ini berumur 38 tahun ke bawah," ujar Timbalan Menteri di JPM.

Menyentuh tengang isu perceraian, Yang Mulia menerangkan bahawa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan mulai 2009 hingga 2011, dari 123 perceraian sebanyak 63 peratus melibatkan mereka yang berumur antara 18 hingga 35 tahun.

Dalam tempoh yang sama jelas Yang Mulia, dari 154 kes persetubuhan haram 77 peratus melibatkan mereka yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun dan ini tidak termasuk kira-kira empat peratus mereka yang di bawah umur 18 tahun.

Bilangan gadis-gadis remaja yang mengandung dan belum berkahwin adalah meningkat.

Yang Mulia juga menerangkan bahawa kajian kesihatan menunjukkan bahawa 17 peratus penuntut-penuntut sekolah merokok dengan 15 peratus daripada penduduk yang berumur di antara 15 tahun dan 24 tahun adalah merokok.

Dalam isu permasalahan berat badan, Yang Mulia juga menyatakan bahawa kajian kesihatan menunjukkan bahawa 8.8 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mempunyai berat badan berlebihan sementara orang dewasa sebanyak 27 peratus lebih jauh dari kadar global iaitu 12 peratus.

Melihat kepada kenyataan permasalahan belia di negara ini tegas Timbalan Menteri di JPM ternyata permasalahan belia kian meruncing dan 'trend' dan 'pattern'nya hampir serupa di mana-mana.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: