Posting mengikut label

Monday, September 17, 2012

Hujan Batu di negeri sendiri….


Bandar Seri Begawan, 15 September 2012.

Sekembalinya ke Negara Brunei Darussalam pada Disember 2010 setelah “berkelana” dari Malaysia sebagai seorang pelarian politik  selama 36 tahun, Saudara Abd. Latif Pangis kini hidup menumpang dikediaman saudaranya di Kampong Junjungan.

Beliau melarikan diri ke Limbang, Sarawak dikemuncak perjuangan kemerdekaan Brunei di luar Negara pada Tahun 1974.

Penderitaan beliau ketika berada di tanah asal kelahirannya ini, seperti tidak jauh berbeza dari keadaannya semasa di rantau orang. Kehidupan selesa di tanah air sendiri yang diimpikan semasa berada di rantau orang hanya tinggal impian.

Mengharap sesuatu yang lebih baik akan dapat di rasakan, namun hakikatnya beliau tetap sebatang kara dan tiada siapa yang dapat memberikan bantuan dan perhatian sewajarnya pada beliau.

Hanya luahan rasa simpati yang dapat diberikan oleh rakan-rakan lama dan rakan seperjuangan yang masih mengenali dan berkesempatan menjenguknya yang ketika ini sedang terlantar di wad 21 rumah sakit RIPAS di Ibu Negara.

Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP), Saudara Mahmud Morshidi Othman petang kemarin berkesempatan menziarahi beliau di rumah sakit. Saudara Abd. Latif yang katika itu tampak uzur dan tidak bermaya hanya mampu bercakap dengan suara yang tidak jelas sambil berbaring.

Beliau yang sudah berusia lebih 70 tahun ini masih belum dapat menerima pencen warga emas dan lain-lain bantuan kebajikan atas sebab belum memiliki kad pengenalan sejak kepulangan beliau dari perantauan dua tahun lalu.

Saudara Morshidi agak terkilan dengan birokrasi yang tidak mesra rakyat ini. “Kita tidak faham bagaimana pihak-pihak berkenaan masih belum dapat mengembalikan Kad Pengenalan Kuningnya sebagai warganegara Brunei jati walaupun kes ini sudah di dalam file pihak berkenaan sehingga menyebabkan ternafi hak-hak beliau sebagai seorang warga Negara lebih-lebih lagi beliau adalah seorang warga emas,” keluh Presiden NDP.

No comments: