Posting mengikut label

Wednesday, September 12, 2012

Titah KDYMM sempena Perasmian Majlis Ilmu 2012



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perasmian Majlis Ilmu 2012 Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-66 pada hari Selasa, 23 Syawal 1433H / 11 September 2012M bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Majlis Ilmu 2012 terus dijadikan salah satu acara utama perayaan sempena Hari Keputeraan beta pada tahun ini, dengan tema kali ini berbunyi: ‘Nikmat Kesihatan Asas Kesejahteraan Negara’.

Ugama Islam telah meletakkan kesihatan dan kesejahteraan itu di tempatnya yang tinggi selepas keimanan. Ini selaras dengan sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan, kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas iman.”

Demikian nilai kesihatan itu. Ia adalah asas untuk penghidupan yang sempurna.

Nikmat sihat membolehkan seseorang dapat memenuhi hajatnya dengan baik, seperti mencari ilmu dan beramal ibadat dengan selesa.

Kesihatan yang optima tidak syak lagi akan membolehkan seseorang individu itu menunaikan kewajipan dunia dan akhiratnya dengan sempurna.

Pada hemat beta, tema Majlis Ilmu pada tahun ini sangatlah menarik dan bahkan penting, kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada peri mustahaknya perkara kesihatan.

Warga yang sihat akan dapat memainkan peranan lebih cergas, lebih produktif dan efektif untuk masyarakat dan negara.

Alhamdulillah, kita di negara ini sudah pun mempunyai dasar perkhidmatan penjagaan kesihatan secara komprehensif dan menyeluruh, yang berkonsepkan ‘universal health coverage’. Kita kini telah berjaya menepati sasaran-sasaran kesihatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, termasuk juga Matlamat Pembangunan Milenium atau Millennium Development Goals (MDG) yang berkaitan dengan kesihatan.

Namun, kita tidaklah seharusnya merasa complacent, apatah lagi lalai atau kurang waspada. Ini kerana, sepertimana negara-negara lain di dunia, kita juga tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan dan penyakit, yang bukan saja menggugat masyarakat dan negara, malahan juga boleh menjejaskan pembangunan sosioekonomi negara.

Antara cabaran-cabaran tersebut termasuklah peningkatan jumlah penghidap penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit, seperti penyakit kanser, jantung, kencing manis dan darah tinggi, yang tidak mengenal usia atau status sosial. Penyakit-penyakit seperti ini, beta difahamkan, adalah menjadi penyebab utama kematian di negara ini.

Dalam menangani cabaran-cabaran sedemikian, beta berharap semua stakeholders yang berkenaan, khususnya Kementerian Kesihatan akan terus melipatgandakan usahanya dengan membuat pendekatan-pendekatan lebih holistik mengikut amalan terbaik, seperti mengguna pakai kaedah yang lebih ‘kos efektif’ serta prinsip ‘pencegahan lebih baik daripada rawatan’.

Salah satu kaedah kawalan dan pencegahan itu ialah melalui pengamalan cara hidup sihat, termasuk mengekalkan persekitaran yang bersih lagi selamat. Amalan-amalan baik seperti ini amatlah dituntut oleh ugama Islam.

Demikian juga, Islam menekankan supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam pemakanan.

Dipendekkan kalam, kerajaan beta adalah berharap untuk melihat rakyat dan penduduk di negara ini mempunyai tahap kesihatan yang optima.

Namun ini, hanyalah mungkin dicapai, jika setiap individu dan masyarakat sama-sama menyedari dan mengambil berat perkara-perkara kesihatan itu, bukannya semata-mata menyerahkan kepada pihak kerajaan.

Di pihak kerajaan pula, beta telah pun memperkenankan bagi perlantikan konsultan untuk tujuan menyediakan Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur Kesihatan Negara Brunei Darussalam, sebagai langkah meneruskan usaha memantapkan perancangan, meningkatkan kualiti dan memajukan lagi sistem penjagaan kesihatan negara dengan lebih terarah, selaras dengan Wawasan Brunei 2035. Langkah ini juga dihasratkan untuk melihat negara ini terus makmur dan sejahtera, dengan rakyat dan penduduk dapat diberikan penjagaan kesihatan berkualiti dan komprehensif secara saksama.

Akhirnya beta berharap, Majlis Ilmu ini, dengan program-program yang disusun, akan dapat mencapai matlamatnya menyebarkan ilmu yang bermanfaat khususnya tentang penjagaan kesihatan.

Dengan ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’, selawat dan salam ke atas Penghulu sekalian Nabi dan Rasul, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka beta rasmikan Majlis Ilmu 2012 ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments: