Dirgahayu NDP

Dirgahayu NDP

Tuesday, September 18, 2012

Jambatan Temburong - Antara Harapan dan Kebimbangan

BANGAR, TEMBURONG, 28 SYAWAL 1433/16 September 2012 : PEKAN BANGAR akan bertukar wajah dari sebuah pekan kecil dan terpinggir dari arus pembangunan perdana menjadi sebuah pekan yang maju dan pesat membangun sebaik projek jambatan menghubungi Temburong dengan Daerah Brunei-Muara siap dilaksanakan.

Kehidupan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong juga akan melalui perubahan drastik sebaik kerja-kerja pembinaan jambatan yang dianggar bernilai berbillion ringgit itu dimulakan dan seterusnya siap untuk digunakan.

Dalam lain perkataan, Projek Jambatan Penghubung Temburong - Brunei/Muara membawa sejuta harapan (dan juga kerisauan) kepada ramai penduduk dan rakyat terutama di Daerah Temburong dan tidak ketinggalan lain-lain sektor yang berkepentingan.

Isu perkembangan terkini melibatkan Daerah Temburong ini disentuh oleh sdra Haji Md Zaini bin Bakar, Naib Presiden NDP Temburong dalam ucapan alu-aluannya di majlis Ramah Mesra Hari Raya NDP Temburong pada pagi Ahad 16 September 2012.

Sdra Haji Md. Zaini bin Bakar dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM yang telah memperkenankan untuk membina jambatan penghubung Daerah Temburong dengan Daerah Brueni Muara.

Pembinaan jambatan ini merupakan satu berita yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk di daerah ini, ujar beliau.

Katanya cadangan membina jambatan penghubung Daerah Temburong dan Brunei Muara telah disuarakan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat setempat sejak lebih 40 tahun yang lalu, namun tidak mendapat sambutan.

Hasrat tersebut, katanya, telah disuarakan lagi dengan lebih serius dan formal oleh NDP sejak Kongres Agung Tahunan Ke-3 padaTahun 2008.

Saudara Haji Zaini berharap agar pembinaan projek pembinaan jambatan yang akan menelan belanja berbillion ringgit itu akan turut memberikan manfaat kepada kontraktor dan pembekal bahan binaan tempatan dan juga dikalangan pakar-pakar dan jurutera tempatan dengan menyerapkan mereka didalam pembinaan projek tersebut bagi tujuan pendedahan, pemindahan teknologi , kepakaran dan kemahiran kepada anak-anak tempatan.
 

Selain itu, Naib Presiden Temburong juga amat berharap dengan adanya jambatan penghubung Temburong-Brunei/Muara itu nanti Daerah Temburong akan dapat dikembangkan dan dimajukan menjadi Kota Kampus dan Kota Ilmu serta 'Gateway City' antarabangsa ke Negara Brunei. Semua ini akan membukakan peluang dan potensi yang luas bagi pembangunan ekonomi Temburong, ujar Haji Zaini lagi.

Beliau juga turut mengulang usul NDP agar sebuah Istana Hinggap untuk Kebawah DYMM dapat dibina di Pekan Bangar sebagai simbol kehadiran baginda di Daerah terpencil ini.
Ketiaka ditemui Presiden NDP Saudara Mahmud Morshidi Othman turut berkongsi kegembiraan masyarakat Daerah Temburong diatas titah perkenan Kebawah DYMM mengenai pembinaan jambatan penghubung Daerah Temburong dan Daerah Brunei Muara.

Presiden NDP mengingatkan ahli-ahli NDP Daerah Temburong supaya mempersiapkan perancangan untuk mengambil kesempatan bagi pembangunan mega dan infrastruktur yang akan berlaku di Daerah tersebut.

Saudara Morshidi menyeru supaya NDP Temburong menubuhkan koperasi kecil sebagai persediaan untuk mengambil bahagian didalam pembangunan ekonomi yang pastinya akan rancak dimasa depan.

Seterusnya beliau mengingatkan ahli-ahli NDP mengenai kemungkinan berlakunya kejutanbudaya berikutan kebanjiran pelancong dan pengunjung ke Daerah Temburong kelak.  

Ahli-ahli NDP, tambahnya, hendaklah sentiasa memberikan kerjasama pada pihak-pihak berkenaan dengan turut memantau masalah-masalah keselamatan dan sosial yang mungkin tidak dapat dielakkan akan berlaku apabila mobility penduduk bergerak pantas.

Sementara itu, Majlis Ramah Mesra Hari Raya NDP Temburong yang bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu telah memberikan peluang kepada barisan kepimpinan NDP mengeratkan lagi semangat persaudaraan dengan ahli-ahli NDP di Daerah Temburong.
Dan pasti ia menjadi satu kenangan manis terutama sekali kepada tetamu-tetamu yang dapat menikmati juadah yang telah disumbangkan oleh ahli-ahli NDP Temburong yang sejak 6 pagi lagi sudah sibuk menyediakannya. Juadah yang paling istimewa dan paling diminati tetamu-tetamu ialah kelupis berbalut daun pandan berintikan udang galah.

No comments: