Posting mengikut label
ABDB
(18)
ADUAN
(18)
AGAMA
(127)
ALAM SEKITAR
(22)
ANTARABANGSA
(35)
ASEAN
(110)
BELIA
(37)
DEMOKRASI
(95)
EKONOMI
(200)
HAK ASASI
(89)
HALAL
(7)
HUBUNGAN LUAR
(61)
ISU LIMBANG
(4)
ISU PALESTIN
(12)
ISU ROHINGYA
(37)
ISU SELATAN THAI
(1)
ISU SPRATLY
(165)
ISU SYRIA
(1)
ISU UYGHUR
(4)
JENAYAH
(35)
KANAK-KANAK
(10)
KEBAJIKAN
(19)
KEKAYAAN
(9)
KEMALANGAN
(11)
KEMANUSIAAN
(45)
KEMISKINAN
(62)
KEPENTINGAN AWAM
(78)
KERAJAAN
(55)
KESELAMATAN AIR
(6)
KESELAMATAN MAKANAN
(70)
KESELAMATAN NASIONAL
(72)
KESELAMATAN SERANTAU
(265)
KESELAMATAN TENAGA
(10)
KESIHATAN
(45)
KETIDAKCEKAPAN
(2)
KEWANGAN
(34)
KHUTBAH
(3)
KOMUNIKASI
(4)
KONGRES
(26)
LAMAN ASPIRASI
(20)
MANIFESTO NDP
(6)
MENYUSUR DESA
(1)
MIB
(15)
MILF
(54)
MINYAK
(83)
MMN
(85)
NDP
(157)
NEGARA
(5)
NEGARA ZIKIR
(4)
PEKERJAAN
(79)
PELANCONGAN
(8)
PEMBANGUNAN
(16)
PEMBRUNEIAN
(17)
PENDAPATAN
(6)
PENDIDIKAN
(46)
PENGANGKUTAN
(5)
PERIKANAN
(9)
PERTANIAN
(25)
PERUMAHAN
(29)
PERUNDANGAN
(45)
PKS
(44)
POLITIK
(152)
RAJA
(102)
SEJARAH
(76)
SOSIAL
(61)
SWASTA
(13)
SYARIAH
(68)
TAKZIAH
(14)
TARBIAH
(22)
TAZKIRAH
(37)
TEKNOLOGI
(10)
TITAH
(120)
TPPA
(43)
UCAPAN
(16)
USUL
(10)
WANITA
(24)
WAWASAN 2035
(12)
Wednesday, September 26, 2012
Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-22 bagi Tahun 1433 Hijrah/2012 Masihi
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-22 bagi Tahun 1433 Hijrah/2012 Masihi pada 8 Zulkaedah 1433 bersamaan 24 September 2012 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Ala Umuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalamu 'Aalaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat lagi sama-sama berkumpul untuk meraikan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali ke-22.
Bersempena dengan sambutan ini, beta dengan ikhlas mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini. Semoga sambutan yang kita raikan ini dapat menyemarakkan terus semangat para guru dalam menyumbang khidmat selaku pendidik.
Di kesempatan ini juga, beta mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih di atas penglibatan para murid dan pelajar di sekolah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam Majlis Khatamal Qur'an sebanyak 66 kali bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan beta yang Ke-66 tahun. Kegiatan seumpama ini boleh membantu usaha ke arah melahirkan model insan yang berilmu, berkepandaian serta beriman.
Tema Hari Guru pada tahun ini : 'Guru Berkualiti Pelajar Berinovasi.' Tema ini jelas menuntut kapasiti guru dan peranan mereka untuk melahirkan pelajar yang berdaya maju. Kualiti guru pada hemat beta mencakupi beberapa perkara pokok, iaitu peribadi yang baik untuk diteladani oleh pelajar, sikap ikhlas, cekap dan kaya ilmu untuk mendidik para murid atau pelajar menjadi insan yang berpengetahuan dan berakhlak mulia.
Menyentuh perkembangan pendidikan, khususnya pendidikan di peringkat rendah dan menengah, dalam pemerhatian beta dan hasil maklumat dari lawatan ke sekolah-sekolah kerajaan, penguasaan kemahiran pelajar dalam bidang Matematik dan Bahasa, sungguh pun ada menunjukkan kemajuan, namun masih saja memerlukan peningkatan. Perkara ini penting, memandangkan penguasaan dari peringkat asas adalah tapak yang kukuh untuk meneruskan pelajaran ke pengajian menengah dan tinggi.
Sehubungan ini, usaha mestilah dipertingkatkan lagi bagi menutupi kekurangan guru-guru tempatan yang mengajar dua bidang berkenaan iaitu Bahasa dan Matematik. Apabila beta menyebut 'Bahasa', bukanlah terhad kepada Bahasa Inggeris sahaja. Malah juga Bahasa Melayu sendiri. Kerana khabar-khabarnya, markah Bahasa Melayu dalam ujian atau peperiksaan sering didapati rendah, berbanding markah Bahasa Inggeris. Kalaulah ini benar, mengapakah pelajaran Bahasa Melayu juga tidak dikuatkan? Ingatlah, bahasa itu adalah jiwa bangsa.
Beta difahamkan, beberapa inisiatif sedang giat diusahakan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha meningkatkan pendidikan melalui amalan-amalan terbaik global (international best practices) termasuk pelaksanaan projek-projek seperti Model Schools dan Learning Educators Advancing Pedagogy for 21st Century (LEAP21).
Dimensi-dimensi yang diserapkan dalam Model Schools, termasuklah autonomi dalam tadbir-urus, hubungan dengan komuniti, perubahan budaya sekolah dan pembangunan kapasiti guru adalah merupakan antara amalan terbaik antarabangsa yang terkandung dalam projek berkenaan. Semua ini diharapkan dapat menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
Dalam bidang pendidikan teknik pula beta difahamkan, satu kajian mengenainya sedang dilaksanakan. Beta berharap, kajian ini akan dapat diteliti untuk dilaksanakan. Satu perancangan strategik perlulah diusahakan bagi tujuan mencapai matlamat pendidikan teknik tersebut. Ini termasuk jika perlu, penglibatan secara langsung oleh pihak industri dan pengusaha, sehingga membolehkan mereka mengongsikan pengalaman serta kepakaran masing-masing.
Ke arah ini, Kementerian Pendidikan perlulah melihat Skim Perkhidmatan Pendidikan Teknik serta memberikan inovasi kepada skim tersebut untuk membolehkan tenaga kerja di industri ini dapat menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian teknik, sama ada secara sambilan ataupun sepenuh masa.
Lagi sangat perlu diperhatikan, bahawa dalam pendidikan itu terdapat dua unsur, Ugama dan Umum. Orang-orang sering lupa dan malah terlajak mengutamakan yang Umum sahaja, sehingga tertinggal atau tercicirlah Ugama.
Dalam hubungan ini, Brunei sendiri turut mengalami sindrom 'lupa' itu dengan membiarkan dirinya tidak mempunyai sistem persekolahan ‘Wajib Ugama’ selama kira-kira 50 tahun, suatu ketelanjuran yang amat dikesalkan.
Maka dengan kemahuan beta sendiri, satu undang-undang khas telah digubal yang dikenali sebagai Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012. Undang-Undang ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013.
Dengan berjalannya undang-undang ini, insya-Allah, tidaklah akan ada lagi kanak-kanak Islam di negara ini yang akman tercicir dari memahami dan mengetahui ilmu asas pendidikan Islam. Tidak akan ada lagi orang yang tidak pandai sembahyang dan membaca Al-Qur'an.
Akhirnya, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima anugerah Hari Guru pada tahun ini dan tidak lupa merakamkan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan kepada perkembangan pendidikan di negara ini. Semoga usaha para warga guru itu akan sentiasa mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala, Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Labels:
AGAMA,
PENDIDIKAN,
TITAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment