Posting mengikut label

Thursday, September 6, 2012

Kenyataan Media :


 (BDP 25/1181)
Limbaruh Hijau, Simpang 323, Jalan Jerudong,
Kampong Jerudong BG 3122, Negara Brunei Darussalam


KENYATAAN MEDIA JABATAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) SEMPENA LAWATAN MRS. HILARY CLINTON, SETIAUSAHA NEGARA AMERIKA SYARIKAT KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM PADA 6-7 SEPTEMBER 2012

1. NDP mengalu-alukan kunjungan Mrs. Hilary Clinton, Setiausaha Negara Amerika Syarikat dijangka melakukan lawatan ke Negara Brunei Darussalam pada 6 dan 7 September 2012.

2. NDP menganggap kunjungan TYT tersebut merupakan satu penghormatan kepada Ketua Negara dan Negara Brunei Darussalam pada amnya.

3. NDP berharap Setiausaha Negara Amerika telah diberikan gambaran sebenar mengenai perkembangan dan kemajuan politik Negara Brunei Darussalam  justeru tidak akan ada sebarang bentuk tekanan ke atas Negara Brunei Darussalam khususnya anjuran  amalan demokrasi ala barat keatas Negara Brunei.

4. NDP berpandangan bahawa pada amnya, sistem pemerintahan demokrasi ala barat tidak sesuai dengan sosio budaya di Negara ini yang mengamalkan konsep pemerintahan  Melayu Islam Beraja (MIB).

5. Namun demikian, ini tidak bermakna  NDP  menolak sepenuhnya  konsep demokrasi selagi ianya tidak bercanggah dan bertentangan dengan syariat Islam.

6. Walaupun demokrasi pada hakikatnya dikaitkan dengan kuasa, namun amalan demokrasi yang dihasratkan oleh NDP lebih kepada  harapan agar rakyat terlibat secara langsung  dalam pembuatan keputusan  melalui sistem berparlimen yang majoriti ahlinya dipilih oleh rakyat.

7. Dalam Hal ini, NDP melalui  Manifesto Politiknya  2006-2016 telah mencadangkan pembentukan  sebuah parlimen yang difikirkan sesuai untuk Negara Brunei Darussalam, antara lain :

o   mempergiat dan menstruktur semula sistem syura dalam pemerintahan negara yang telah wujud sejak zaman berzaman melalui pembentukan institusi parlimen yang mempunyai dua dewan iaitu, Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Permesyuaratan Diraja. Majlis Mesyuarat Negara berperanan sebagai ‘lower house’ sementara  Majlis Permesyuaratan Diraja berperanan sebagai ‘upper house’. Di bawah penstrukturan semula ini ;

o    bilangan ahli Majlis Mesyuarat Negara yang sedia ada ditambah dengan majoriti ahli-ahlinya dipilih terus oleh rakyat Kebawah DYMM melalui satu sistem pilihan raya yang bebas dan telus. Calon-calon dari kalangan rakyat Kebawah DYMM yang bertanding mestilah memenuhi kelayakan akademik yang ditetapkan di samping kriteria-kriteria lain selaras dengan peruntukan undang-undang bagi mewujudkan sebuah sistem syura yang benar-benar efektif dan representatif demi kemakmuran dan kemajuan negara;
o    Majlis Permesyuaratan Diraja pula hendaklah dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Majlis Mesyuarat Adat Istiadat dan Majlis Ugama Islam Brunei. Keahlian Majlis Mesyuarat Diraja, Majlis Mesyuarat Adat Istiadat dan Majlis Ugama Islam Brunei dipilih seratus peratus oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam;

o   institusi ‘upper house’ tersebut divisikan berperanan sebagai penapis kepada sebarang cadangan rang undang-undang yang dikemukakan oleh Majlis Mesyuarat Negara, untuk memastikan yang ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW, adat istiadat, resam serta tradisi Melayu Brunei, dan segala hak Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam;

o    sistem syura yang disyorkan ini tetap mengekalkan kuasa meluluskan undang-undang kepada Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sepenuhnya mengikut syariat dan tradisi Islam dalam peranan Baginda sebagai Ulil Amri;

o    tidak syak lagi (sistem syura ini) akan memperkukuhkan keyakinan semua pihak terhadap sistem pemerintahan negara dan sekaligus memperluas dan menginstitusikan secara efektif  penyertaan rakyat Kebawah DYMM di dalam proses pentadbiran negara, seperti mana jua yang dinilai dihasratkan oleh Baginda.

8. NDP menaruh keyakinan bahawa Kebawah DYMM  mempunyai pandangan dan pendirian yang mesti dihormati oleh semua pihak dalam menentukan hala tuju Negara terutama  dalam membawa Negara ini kearah kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan.

9. NDP berharap semoga hubungan dua hala Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat akan bertambah kukuh atas dasar saling hormat menghormati dan tidak mencampuri urusan dalam negara masing-masing. 

Haji Jefri Hj Mohd Daud
Setiausaha Agung
Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Limbaruh Hijau
No.15 Simpang 323 Jalan Jerudong
Negara Brunei Darussalam
05 – 09 - 2012. 

No comments: