Posting mengikut label

Wednesday, September 26, 2012

Kenyataan Media


KENYATAAN MEDIA JABATAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) BERHUBUNG PENERBITAN FILEM ‘INNOCENCE OF MUSLIMS’ DAN KARIKATUR MAJALAH PERANCIS YANG MENGHINA NABI MUHAMMAD SAW

LIMBARUH HIJAU 8 ZULKAEDAH 1443/25 SEPTEMBER 2012: JABATAN PRESIDEN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kelmarin mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penerbitan filem 'Innocence of Muslims' dan karikatur majalah Perancis yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Jabatan Presiden NDP dalam kenyataan tersebut mengutuk setegas-tegasnya penerbitan dan penyiaran filem yang bersifat anti-Islam itu dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis.

NDP berpendapat perbuatan tersebut yang senghaja mencemar kesucian Islam serta kemuliaan Nabi Muhammad SAW tidak boleh diterima walaupun atas nama kebebasan bersuara.

Penerbitan filem 'Innocence of Muslims' yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW dan Islam telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Mereka bangkit dan berdemonstrasi memprotes perbuatan keji itu. Duta Besar Amerika di Libya, J. Christopher Stevens, tewas menjadi mangsa kemarahan umat Islam di Libya apabila bangunan kedutaan Amerika di Libya digempur pada 11 September 2012 .

Belum pun api kemarahan umat Islam terhadap penerbitan filem anti-Islam itu reda muncul pula karikatur yang dianggap menghina Nabi Muhammad SAW dalam Majalah mingguan Perancis. Majalah mingguan Chalie Hebdo pada 19 September 2012 telah memuat karikatur yang mencemarkan kemuliaan Nabi Muhammad.

Ini semakin memanaskan lagi keadaan dengan protes di berbagai negara muslim disasarkan kepada Perancis. 

Berikut disiarkan 'Kenyataan Media Jabatan Presiden Berhubung Penerbitan Filem 'Innocence Of Muslims' dan Karikatur Majalah Perancis yang menghina Nabi Muhammad SAW itu.'

Parti Pembangunan Bangsa (NDP), sebagai sebuah pergerakan politik Rakyat Negara Brunei Darussalam yang berjalan atas landasan Perlembagaan parti yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah dan sebagai sebuah pergerakkan politik yang cintakan keamanan dan kehidupan harmoni antara kaum dan pegangan kepercayaan agama dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya sebarang langkah atau tindakan, seperti penerbitan sebuah filem berjodol, ‘Innocence of Muslims’ di Amerika Syarikat dan lukisan  karikatur yang diterbitkan boleh Charlie Hebdo sebuah majalah Perancis, yang jelas menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

NDP melihat langkah-langkah dan tindakan-tindakan seperti ini merupakan satu perbuatan yang tidak berhemah, keji dan ternyata bercanggah dengan semangat kebebasan bersuara yang  termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah dengan jelas menggariskan pentingnya menghormati dan melindungi kebebasan bersuara selagi mana pengamalan kebebasan bersuara itu menghormati juga hak asasi dan kebebasan-kebebasan yang lain yang juga dilindungi sama oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB, dan seterusnya selagi mana pengamalannya tidak menggugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan dengan itu NDP amat menyesali dan memandang serius terhadap penerbitan sebuah filem menghina Islam dan nabi Muhammad SAW bertajuk ‘Innocence of Muslims’ oleh Nakoula Basseley Nakoula yang menggunakan nama samaran Sam Bacile, seorang warga Amerika dan penerbitan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh Charlie Hebdo sebuah majalah Peranchis.

Perbuatan warga Amerika bernama Nakoula Basseley Nakoula dan Chalie Hebdo, sebuah majalah Perancis ini jelas merupakan penyalahgunaan hak kebebasan bersuara dan sengaja dilakukan untuk memprovokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam diseluruh dunia.

NDP dengan ini mendesak pentadbiran Amerika Syarikat dan juga Negara Perancis agar mengambil langkah pencegahan serius ke atas sebarang bentuk provokasi keagamaan khususnya kebencian terhadap Islam dan Umat Islam seperti penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’ dan penerbitan karikutur oleh majalah Perancis Charles Hebdo yang mempersendakan dan menghina Nabi Muhammad SAW.

NDP menuntut Presiden Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia di atas tindakan provokasi rakyatnya yang telah menimbulkan kegelisahan Umat Islam sejagat;
NDP juga menuntut Presiden Negara Republik Perancis memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia atas tindakan provokasi majalah terbitan negara Peranchis yang juga telah memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

Tindakan provokasi kelompok extremis yang menyemai bibit-bibit kebencian antara agama jika tidak dikawal sewajarnya pasti akan mengugat kehidupan harmoni masyarakat dunia dan prinsip “peaceful co-existence” sejagat kerana ianya akan menerbitkan kesan negatif di dalam hubungan antara agama.

NDP mengucapkan takziah kepada keluarga dan kakitangan diplomatik Amerika Syarikat di Libya yang terbunuh ekoran tindakan protes terhadap penerbitan film “Innocent of Muslim” yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Musibah yang menimpa diplomat Amerika Syarikat di Libya itu amat dikesali. Kejadian itu amat memalukan umat Islam lebih-lebih lagi perbuatan membunuh perwakilan asing adalah haram hukumnya di sisi Agama Islam.

NDP mendesak agar Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengadakan sidang khas bagi membincangkan dan mengambil ketetapan mengutuk perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW itu.

NDP memohon kepada pihak Polis Diraja Brunei agar memberikan permit berkumpul kepada NDP bagi membolehkan parti menganjurkan perhimpunan aman untuk menzahirkan bantahan dan protes Umat Islam Negara Brunei Darussalam terhadap perbuatan-perbuatan seperti penerbitan filem “Innocence Of Muslims” dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Dalam perkembangan lain, sdra Mahmud Morshidi Othman, Presiden NDP meluahkan harapan agar permohonan NDP untuk mengadakan perhimpunan aman untuk menzahirkan bantahan terhadap perbuatan-perbuatan yang mencemarkan kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW akan mendapat restu dari pihak-pihak berkenaan.

Tegasnya menyatakan, “Nabi Muhammad S.A.W adalah segalanya dalam kehidupan orang-orang Islam”.

"Saban tahun kita berarak dikeliling kota, di merata-rata tempat kita berdikir memuji Nabi kerana merayakan Maulidul Rasul, namun begitu kenapa kita menyepi apabila insan yang dipuji dan dimuliakan oleh Allah S.W.T ini dihina oleh orang-orang kafir yang memusuhi Islam?” ujar beliau dengan penuh kesal.

"Kita semua adalah cintakan Nabi. Oleh kerana kita (NDP) berlatar belakangkan politik maka pendekatan kita tentulah menzahirkan sentiment anti penghinaan Nabi ini melalui pendekatan politik", tegas beliau lagi.

“Bagaimana dunia Islam akan tahu bahawa umat Islam dinegara zikir ini bersama mereka untuk menentang gerakan kuffar jika kita tidak turun ke medan melaungkan penentangan terhadap kuffar yang memusuhi Islam ini” tegas beliau.

Presiden NDP berharap semoga permohonan NDP kelak untuk mendapatkan permit berkumpul bagi menghimpunkan umat Islam dinegara ini dalam perhimpunan aman “untuk menzahirkan bantahan dan protes kita terhadap perbuatan seperti penerbitan filem 'Innocence Of Muslims' dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad S.A.W akan diluluskan oleh pihak-pihak berkenaan.

No comments: