Posting mengikut label

Wednesday, January 7, 2009

HIMPUNAN RAKSAKSA KUTUK KEKEJAMAN ISRAEL

LIMBARUH HIJAU 7 JANUARI 2009 - RANCANGAN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) untuk mengadakan perhimpunan bagi tunjuk rasa kecewa dan sedih terhadap tindakan ganas Israel keatas rakyat Palestine tidak di restui oleh pihak yang berwajib.

Jawapan yang menyedihkan ini di sampaikan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan melalui SMS kepada Setiausaha Agung NDP, Awang Haji Aminorashid Haji Ghazali dan Setiausaha Kerja, Awang Haji Juned Ramli kelmarin.

Tidak ada sebarang alasan di berikan kenapa perhimpunan yang bertujuan untuk menterjemahkan semangat solidariti rakyat Brunei bersama rakyat Palestine yang di zalimi dan sentimen rakyat Brunei terhadap kekejaman Israel itu tidak di benarkan.

NDP merasakan tidak cukup kita mengutuk perbuatan Israel itu dengan kata-kata sahaja, Justeru parti berhasrat mengadakan perhimpunan tersebut sebagai langkah konkrit menyokong dan berdiri teguh di belakang Kerajaan KDYMM yang telah mengeluarkan kenyataan keras mengutuk tindakan Israel tersebut dan menyeru Israel agar menghormati nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Selain itu NDP sebagai sebuah parti politik yang berlandaskan ajaran Islam rasa terpanggil untuk mara kehadapan membantu saudara sesama Islam kita yang tertindas. Dan bantuan dan sokongan yang sekadar kita termampu ialah dengan mengadakan perhimpunan untuk meluahkan kebencian kita kepada tindakan ganas Israel itu.

Walaupun rancangan awal ini tidak di restui namun NDP tidak akan berputus asa dan masih berharap kepada Allah agar mengerakkan hati pihak berwajib untuk memberikan ruang kepada ahli-ahli NDP untuk membuat perhimpunan tersebut.

Sementara itu NDP juga rasa terpanggil melihat rakyat di seluruh dunia terutama mereka yang tidak beragama Islam turut bangkit mengutuk kekejaman Israel itu.

Di Malaysia, menurut laporan Utusan malaysia kelmarin, satu perhimpunan raksasa disertai semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan kekejaman Israel di bumi Palestin sebagai jenayah kemanusiaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah di laporkan sebagai berberkata, cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok untuk merealisasikan perhimpunan kemanusiaan itu yang bebas daripada ideologi politik.

''Saya sedang menggerakkan kordinasi untuk membolehkan satu perhimpunan besar-besaran diadakan sebagai satu sentimen rakyat bagi melabelkan Israel sebagai pencetus teroris dunia".

''Perhimpunan ini dipertimbangkan diadakan dalam tempoh setengah hari atau sehari yang disertai semua NGO yang akan menyatakan kebencian yang teramat terhadap zionis", katanya lagi kepada Utusan Malaysia.

Serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 27 Disember lalu itu setakat ini mengorbankan hampir 500 rakyat Palestin sebahagian besarnya orang awam, kanak-kanak dan wanita.

Awal pagi kelmarin sahaja sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaru tentera zionis di Deir Al-Balah, tengah Genting Gaza.

Semalam, Malaysia juga menggesa PBB mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan masyarakat dunia mengambil langkah berkesan menghentikan kekejaman Israel di Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Wisma Putra telah diarah menggerakkan wakil tetapnya di PBB supaya bekerjasama dengan kumpulan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi membolehkan perhimpunan khas tersebut diadakan.

Abdullah menegaskan, hanya melalui Perhimpunan Agung Khas 'Perpaduan Untuk Keamanan' dapat mengetepikan sebarang tindakan penolakan Amerika Syarikat (AS) terhadap usul resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

No comments: