Posting mengikut label

Wednesday, February 5, 2014

Hak umat Islam sama di mata undang-undang


Oleh:  Aimi Sani

JERUDONG, Isnin, 3 Februari. - Undang-undang Islam adalah undang-undang yang mantap, relevan untuk setiap zaman dan masa dan ianya tidak akan berubah buat selamanya.

Ia menjamin kebaikan, keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh manusia tanpa memberikan keistimewaan kepada mana-mana golongan tertentu yang mana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di mata undang-undang.

Perlaksanaan Perintah Hukuman Jenayah Syar'iah 2013 diyakini mampu membendung jenayah daripada terus berleluasa di negara ini seperti yang terbukti di negara-negara yang lebih awal mengamalkan Undang-undang Jenayah syariah.

Demikian dijelaskan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Mukrisman Safari bin Haji Mustapha pada Taklimat Perintah Hukum Kanun Jenayah Syar'iah bagi Kementerian Pertahanan, bertempat di Dewan Utama BRIDEX, Jerudong, di sini.

Sementara itu Pegawai Perundangan Syariah, Unit Perundangan Islam, KHEU, Dayang Hajah Rosnita binti Haji Shamsuddin berkata, perintah-perintah dan Kanun-kanun Jenayah Syariah tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melalui tiga fasa iaitu Fasa Pertama, enam bulan selepas ianya diwartakan, semua kesalahan dalam Bahagian IV Penggal IV di mana Kesalahan-Kesalahan Am akan dikuatkuasakan kecuali yang mengenakan hukuman sebat atau mati.

Sementara Fasa Kedua selepas 12 bulan diwartakan, semua kesalahan yang mengenakan hukuman Hadd, Diyat, Arsy dan Badal al-Sulh akan dikuatkuasakan kecuali kesalahan yang mengenakan hukuman mati.

Manakala di Fasa Ketiga, ujarnya, setelah 24 bulan dari Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syar'iah diwartakan, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah 2013 akan dikuatkuasakan sepenuhnya termasuk kesalahan yang mengenakan hukuman mati.

Perintah ini, terangnya, dikenakan ke atas orang Islam dan bukan Islam, namun ada beberapa kesalahan yang dikenakan kepada orang Islam sahaja seperti tidak menunaikan Sembahyang Jumaat, perempuan Islam yang belum berkahwin lari daripada jagaan ibu bapanya atau penjaganya dan memberi atau menyerahkan orang Islam.

Antara kesalahan yang dikenakan hukuman ke atas orang Islam dan bukan Islam, jelasnya, adalah seperti kesalahan melakukan zina atau meminum minuman yang memabukkan.

Walau bagaimanapun, ujarnya, hukuman yang dikenakan ke atas orang bukan Islam tertakluk kepada syarat seperti jika orang bukan Islam itu melakukan zina dengan orang Islam atau jika orang Islam itu meminum minuman yang memabukkan di khalayak ramai.

Perkara-perkara yang lain yang turut dibincangkan dan diketengahkan termasuklah mengenai kaedah pembuktian kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas atau Diyat, syarat-syarat ikrar bagi kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas atau Diyat, syarat-syarat tambahan ikrar bagi kesalahan zina yang dikenakan hukuman Hadd, penerimaan ikrar, syarat-syarat syahid bagi kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas atau Diyat, syarat-syarat Muzakki, di samping kesalahan am yang dikenakan hukuman Qisas, Diyat atau Badal al-Sulh, Arsy bagi kesalahan 'qatl' atau kecederaan dan hukuman Hadd dan Irtidad.

Taklimat seumpama merupakan inisiatif Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan KHEU dalam mendukung titah perintah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam.

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari'ah telah diwartakan pada 16 Zulhijah 1434 Hijriah bersamaan 22 Oktober 2013 Masihi.

Negara Brunei Darussalam melakar sejarah besar apabila menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan.


Dipetik dari - Pelita Brunei


Undang-undang Syari’ah sepintas lalu

Terdapat tiga fasa dalam pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 dan Fasa 1 yang akan dikuatkuasakan dalam bulan April ini merangkumi kesalahan-kesalahan am dalam Bahagian IV, Penggal IV kecuali bagi kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman mati atau sebatan rotan. Berikut ialah antara 60 Bab yang terkandung dalam Bahagian IV, Penggal IV :

Hukuman melakukan ghasab

Bab 192. (1) Mana-mana orang yang melakukan ghasab adalah melakukan sesuatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $20,000, dihukum penjara selama satu tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Bagi maksud-maksud bab-bab 192 dan 193, “ghasab” bermaksud penguasaan terhadap hak orang lain dengan secara zalim dengan tiada kerelaan orang yang ada hak.

Misalan-misalan

(a) A mengugut B untuk membunuh atau mencederakan B jika B tidak memberikan A sejumlah wang. B disebabkan ketakutan memberikan A sejumlah wang yang dikehendaki. A telah melakukan ghasab.

(b) A secara paksa mengambil wang dari poket B tanpa kebenaran B. A telah melakukan ghasab.

Pengembalian harta ghasab

Bab 193 (1) Harta ghasab hendaklah dikembalikan kepada mangsa jika harta itu didapati di dalam bentuk asal dan boleh dikenal.

(2) Jika harta ghasab itu hilang atau digunakan semasa dalam pegangan pesalah, maka pesalah terlibat hendaklah diperintahkan supaya membayar ganti rugi dan ganti rugi itu hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar kepada pemilik.


Dipetik dari - Media Permata

No comments: