Posting mengikut label

Wednesday, February 26, 2014

Hukum Allah tidak mengira pangkat, darjat, keturunan


Oleh:  Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli

KUALA BELAIT, Selasa, 25 Februari. - Rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang melakukan kesalahan jenayah syariah di luar negeri boleh dibicarakan di negara ini.

Sementara warga asing yang melakukan kesalahan serupa di luar negeri tidak boleh dibicarakan di negara ini, kata Pengarah Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Haji Tassim bin Haji Akim semasa ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI.

Dato Seri Setia menyatakan, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah 2013 Negara Brunei Darussalam dikenakan kepada semua yang berada di negara ini sama ada orang Islam dan bukan Islam.

"Hukum Allah tidak mengira pangkat, darjat dan keturunan. Siapa yang melakukan kesalahan maka ia akan dikenakan hukuman dengan syarat umpamanya jika sabit kesalahan oleh mahkamah," jelas beliau semasa ditemui pada majlis taklimat Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah 2013 kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Hal Ehwal Ugama (PHEU) Daerah Belait di PHEU dan bahagian-bahagian di bawahnya yang diadakan di PHEU, di sini.

Dato Seri Setia menyatakan taklimat mengenai perintah tersebut juga telah disampaikan kepada orang bukan Islam di negara ini dan orang ramai yang ingin mengetahui mengenai perlaksanaan perintah tersebut, boleh mengikuti sebuah rancangan khas dinamakan 'Kuliah Kanun' yang ditayangkan di Televisyen Brunei. Kuliah tersebut mengandungi 52 episod dan ditayangkan seminggu tiga kali.

Taklimat disampaikan oleh Pegawai Perundangan Syariah, Unit Perundangan Islam, Dayang Hardiyatie binti Kahar dan Timbalan Pendakwa Syarie Bahagian Pendakwaan Syarie, Unit Perundangan Islam, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Ahmad.

Dayang Hajah Fatimah menyatakan, mana-mana bukan Islam yang dengan cara lisan, tulisan dan pernyataan zahir atau dengan apa-apa cara lain menghina atau menyebabkan dipandang hina Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam atau mana-mana nabi Allah dan dibuktikan dengan keterangan dan jika sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

Manakala orang bukan Islam yang mempermain, mengolok-olok, mengajuk, mengejek atau menghina dengan perkataan atau perbuatan mana-mana ayat Al-Qur'an atau hadith Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, jika sabit kesalahan dikenakan hukuman mati.

Antara yang hadir Pakar Perundangan Islam, Dato Seri Laila Jasa Professor Dr. Anwarullah Saifullah dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Haji Asminan bin Haji Awang Chuchu.


Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: