Posting mengikut label

Thursday, February 20, 2014

Tangkapan dadah meningkat


Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Kadar tangkapan yang membabitkan penyalahgunaan dadah di negara ini meningkat hampir 50 peratus pada 2013 berbanding tempoh yang sama pada 2012 dengan 75 peratus daripada mereka yang ditangkap adalah kaum Melayu, diikuti dengan pendatang asing dan penduduk tetap.

Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Awang Haji Jasmin bin Haji Jamudin berkata, pada tempoh yang sama juga terdapat peningkatan dalam jumlah tangkapan yang membabitkan pengedar dadah dibuat di pos kawalan sempadan negara ini, iaitu sejumlah 74 orang ditahan sepanjang 2013 berbanding 30 tangkapan pengedar dadah pada 2012.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai Pengerusi Bersama pada perasmian Mesyuarat Dua Hala BKN dan Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) yang berlangsung di Ibu Pejabat BKN hari ini.

Mesyuarat tahunan yang bertujuan untuk bertukar pendapat dan berkongsi mengenai perkembangan baru agensi dalam sistem kawalan dadah di kedua-dua negara itu dipengerusikan bersama oleh Pengarah CNB, Ng Ser Song, yang mengetuai delegasi enam pegawai dari CNB, Singapura.

Antara isu yang dibincangkan bersama pada mesyuarat itu termasuk mengenai perlaksanaan undang-undang, pendidikan pencegahan dadah, pengawasan dan lain-lain

Menurut Statistik Tangkapan Am 2011-2013 yang dikeluarkan BKN, sepanjang 2013 sebayak 679 tangkapan berjaya dibuat oleh BKN, iaitu peningkatan sebanyak 229 tangkapan berbanding pada 2012 yang hanya berjumlah 450 tangkapan.

Jumlah dadah Amphetamine (Syabu) yang dirampas pada 2013 menurun kepada 1,976.72 gram berbanding sebanyak 9,005.12 gram pada 2012.

Seramai 570 daripada yang tertangkap itu adalah lelaki manakala 109 lagi wanita dengan seramai 565 adalah warga negara Brunei, 40 orang penduduk tetap, 73 warga asing dan seorang bertaraf Stateless.

Jumlah penuntut yang ditangkap berkaitan dadah bagaimanapun berkurangan sepanjang 2013 dengan hanya sembilan tangkapan termasuk dua perempuan, berbanding 23 penuntut pada 2011 dan 19 penuntut pada 2012.

Antara peningkatan yang mendadak ialah tangkapan yang dibuat di pos kawalan sempadan negara dengan sebanyak 74 tangkapan dibuat pada 2013 berbanding 30 tangkapan dicatat pada 2012 dan 26 tangkapan sepanjang 2011.

Daripada jumlah itu tangkapan pada 2013 membabitkan seramai 46 orang warga negara Brunei, empat penduduk tetap dan 16 yang lain adalah warga negara asing.

Awang Haji Jasmin yakin bahawa mesyuarat itu akan mencapai objektifnya terutama dalam pertukaran maklumat dan pengetahuan mengenai trend dadah masa kini serta masalah yang dihadapi oleh kedua-dua negara. Gabungan maklumat berkenaan dapat membantu dalam merangka strategi untuk membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Sepanjang berada di negara ini rombongan CNB turut mengadakan lawatan ke Galeri Pendidikan Pencegahan Dadah di Ibu Pejabat BKN dan mengadakan lawatan kerja ke Sempadan Labu-Ujong Jalan di Temburong, lawatan ke Kampung Senukoh serta ke Outward Bound Brunei Darussalam.


Dipetik dari - Media Permata

No comments: