Posting mengikut label

Thursday, February 13, 2014

Pecah masuk masjid, 3 lelaki dihukum


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Tiga lelaki tempatan yang diberkas berhubung kes pecah masuk masjid pada 9 Januari lalu, hari ini dijatuhi hukuman penjara dan sebatan setelah mereka mengaku bersalah terhadap 28 pertuduhan mencuri wang dari tabung derma di 15 buah masjid di daerah Brunei-Muara, Tutong dan Belait; memecah masuk ke masjid-masjid pada waktu malam dan perbuatan merosakkan harta benda semasa memecah masuk ke masjid-masjid.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Hairol Arni Haji Abdul Majid memerintahkan tertuduh pertama dan kedua iaitu Haji Jumat bin Haji Jaya, 39, dan Sahri bin Jarudin, 45, masing-masing dihukum penjara 11 tahun dan 8 sebatan. Manakala tertuduh ketiga, Mohammad Sediken bin Bujang, 32, dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan 9 sebatan.

Kesemua hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan reman iaitu pada 10 Januari 2014.


Masjid-masjid yang dipecah masuk oleh ketiga-tiga tertuduh ialah Masjid Saifuddien Ali Omar Paduka Seri Begawan Sultan di Kg Katimahar; Masjid Belimbing di Kg Subok; Masjid Kg Serdang; Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen; Masjid Zainab di Lumut; Masjid Pintu Malim; Masjid Tanah Jambu; Masjid Lumapas; Perpindahan Masjid Lambak Kanan; Masjid Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Masjid RIPAS ; Kg Rimba; Masjid Kg Kapok Kanan; Masjid Kg Bukit Udal, Tutong; Masjid Hj Abdul Azim di Kg Luagan Dudok, Tutong dan Masjid Beribi, Jln Bunga Jasmine.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Karen Tan dan Timbalan Pendakwa Raya Dk Hazirah Pg. Yusoff.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan di sini berkata, dengan sabitan kes tersebut, ia merupakan usaha berterusan dan komitmen Pasukan Polis Diraja Brunei dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara dan terjamin.

Kes pecah masuk masjid yang dilaporkan berleluasa sejak November lalu telah mendapat perhatian ramai liputan meluas oleh media tempatan. Ketiga-tiga tertuduh diberkas ketika memecahkan masuk dan mencuri harta benda di Masjid Beribi pada tengah malam 9 Januari lalu.

Sehubungan itu Pasukan Polis Diraja Brunei mengucapkan penghargaan dan berterima kasih kepada pihak awam yang memberi maklumat sehingga pesalah-pesalah telah berjaya ditangkap dan kemudian dihadapkan ke mahkamah.


Dipetik dari - Media Permata

No comments: